Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2015 berlangsung dari 2 hingga 7 Jun disertai sebanyak 120 wakil media cetak dan elektronik dari 28 buah negara. Pelbagai ragam dapat disaksikan sepanjang perjalanan acara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata selain aktiviti mencandat sotong, wakil media juga didedahkan kepada produk pelancongan tempatan di lokasi berlainan di empat daerah iaitu sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Hulu Terengganu.
“Antara aktiviti sepanjang program itu berlangsung adalah pertandingan mencari kepah, lawatan ke Pekan Budaya di Setiu, Festival Peranakan, lawatan ke Taman Tema Air Tasik Kenyir serta ke Pusat Konservasi Gajah di Hulu Terengganu. Mereka juga akan didedahkan kepada kepelbagaian sukan tradisional, makanan tradisi rakyat Terengganu serta lokasi pelancongan iaitu Pasar Payang, Taman Monumen di Taman Tamadun Islam dan Muzium Negeri,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Antara negara yang menyertai acara ini ialah dari Perancis, Jerman, Sepanyol, China, Turki, Rusia, Australia, Filipina, Indonesia serta India.
“Selain media cetak dan elektronik arus perdana di negara tersebut, turut hadir sepanjang pesta ini ialah blogger, v-blogger, serta wartawan majalah yang akan menghasilkan liputan berita dan artikel menarik mengenai Terengganu apabila pulang ke negara masing-masing,” kata Mohd Jidin.
Pada tahun lalu, sebanyak 195 wakil media dari 21 buah negara menyertai Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014 yang berlangsung dari 11 hingga 17 April.