Anuar Zain Masih Didambakan…

Share

pc anuar zain

Satu dewan senyap sunyi tatkala alunan muzik merdu memenuhi ruang. Penuh penghayatan, Pengarah Muzik Mac Chew sendiri melarikan jemarinya di bilah-bilah hitam putih tuts piano.

Sejauh ku berlari
Meninggalkan dirimu
Masih bayangmu yang menawan

Sekuatku mencuba
Melupakan mu kasih
Lalu mengapa ku tak sanggup

Adakah waktu tak berpihak
Atau memang sudah jalannya
Untuk kita terpisah selamanya

Masuk saja korus…

Ku tak percaya kita
Terpisah Karena Berbeda
Lalu kemana kan ku cari

Ku tak percaya kata
Cinta tak harus memiliki
Lalu mengapa hati terasa sakit

Kala itu semua hati bagai disentuh. Sorakan kedengaran memenuhi seluruh stadium mengagumi suara lunak milik Anuar Zain dipadu  lantang suara harmoni Adibah Noor, Dina Nadzir dan Elvira Arul. Gandingan cukup hebat memdendang lagu Cinta Harus Memiliki. Rasa saya itulah kemuncak pada Konsert Anuar Zain Tiga Dekad – Muzik, Cinta dan Sanubari. Sememangnya tempoh dua jam tidak cukup buat peminat tegar Anuar Zain.

Cinta Harus Memiliki

“Mengundang mereka di pentas adalah tanda penghargaan saya buat teman-teman seperjuangan. Mereka cukup hebat.”

Sebanyak 6000 mata bertumpu kepada Anuar Zain. Tanggal 16 Februari 2013 menjadi sejarah buat penyanyi kacak itu. Hampir seluruh tempat duduk di stadium Malawati Shah Alam penuh. Saya tumpang berasa bangga. Menurut Anuar Zain, kehadiran ibu dan bapa paling dihargai kerana jarang mereka mahu hadiri konsert  seumpamanya dek sayu hati melihat anak di pentas. Mungkin memahami malam itu cukup bermakna buat si anak maka ibu bapa dan ahli keluarga turut hadir. Kelibat Ziana Zain dan suami juga kelihatan.

“Terima kasih abah kerana menjadi pencetus kerjaya nyanyian saya. Segala-galanya bermula di majlis perkahwinan sepupu apabila saya diminta abah menyanyi. Selepas satu, satu lagu lagi di minta dan sampai lagu ke lima saya sendiri mula seronok,” ujarnya berkongsi kenangan lama.

Anuar Zain

Melihat mata Anuar Zain bergenang, hati jadi sebak. Konsert ini dijayakan sendiri Anuar Zain dan Universal Music, menjadikan ia lebih bermakna buat dirinya. Sementelah sehari sebelumnya merupakan hari jadi Anuar Zain ke 43 tahun. Malam ini pula meraikan 30 tahun bergelar insan seni.  Masih utuh, masih digemari dan masih didambakan semua. Kuntuman ros merah baldu dilempar ke pelusuk tempat duduk vip tanda kasih sayang tak terhingga. Kucupan awangan dan lambaian sering dilemparkan kepada semua peminat di setiap penjuru.

Lagu paling ditunggu-tunggu saya adalah Jangan Bersedih Lagi, Mungkin dan Ketulusan Hati. Lagu-lagu menemani sedih saya sejak dahulu. Ehem, semua orang putus cinta pasti tahu. Apabila saya ikut menyanyi hampir kesemua lagu, teman sebelah menjeling terkejut. Apabila ditanya judul lagu, saya sengih—“Lupa! Balik google,” ujar saya kepada teman wartawan yang sibuk dengan buku catatannya.

Kain Pelikat

Serasa saya hanya keluarga yang tahu saya lah peminat nombor satu Anuar Zain yang sebenar (perasan sebentar). Keluar iklan konsert Anuar Zain Tiga Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari ini di kaca TV kakak sulung sudah bertanya—Tak pergi konsert abang Nuar kau? Seingat saya, setiap musim raya, sering kena buli dengan kakak nombor dua. Geramnya masa rancangan Anuar Zain lah dia nak tengok cerita lain. Dalam merajuk panjang saya lawan balik. Nostalgia itu kembali segar, lebih-lebih lagi apabila Anuar Zain mendendangkan lagu Kain Pelikat. Kemudian seluruh peminat di stadium menyanyikan lagu Suasa Hari Raya.

Nostalgia berterusan dengan lagu Perpisahan dari filem hebat Cinta. Bahagian paling tidak gemar (cemburu buta) apabila tiba lagu Ajari Aku. Saya menebak di luar stadium dengan seorang teman mekap artis yang ada kejutan di konsert ini. Sebenarnya saya sudah jangkakan Nora Danish bakal muncul di pentas. Ciuman di tangan itu sahaja yang saya tak jangka. Tayangan perdana video muzik Sempurnakan Aku adalah kesinambungan video muzik Ajari Aku. Pekikan penonton kedengaran terutama melihat adegan romantis Anuar Zain dan Nora Danish (tak kelakar okay!).

“Ciuman di tangan itu adalah perlakuan spontan saya sebagai menghargai seorang sahabat. Tidak lebih daripada itu,” tegasnya di sidang media.

konsert anuar zain 3 dekad

Pentas rekaan Faizal Mohd Zulkifli tampil bertingkat-tingkat meletakkan pemuzik pada setiap posisi sempurna. Setiap lagu menampilkan percikan cahaya yang pelbagai oleh Steve Ho dari SES begitu bertepatan dengan tiap emosi lagu didendangkan. Pentas itu berlatarkan tiga skrin LED  dengan grafik dan tayangan visual dirakamkan Amri Ginang. Imejan Anuar Zain begitu mempesonakan.

Hampir semua lagu popular dari album pertama hingga terkini didendangkan Anuar Zain—I’m the Lucky One, Bila Resah, Suria Dan Siarra, Kau Bunga Cintaku, Lembalilah Kasih/Hanya Milik Mu, Keabadian Cinta, Sesucinya Cintamu, Bidadari, Teman Terulung, Semua Untukmu, Lelaki ini dan diakhiri dengan Sedetik Lebih.

Ternyata suara Anuar Zain malam itu begitu kemas dan tiada satu pun kecacatan apabila melontarkan note paling tinggi. Puas! Suara sama yang saya kagumi sejak dahulu. Saya pernah membuli Anuar Zain, merakam suaranya di telefon bimbit selesai sesi fotografi. Mahu buat wakeup call pagi-pagi kata saya. “Bangun Marini, bangun. Bangun Marini! Banguuuuun!” Aduhai, bukan mengejutkan saya tetapi suara romantis itu mengasyikkan. Melanjutkan lagi lena saya. Merdu!

Lelaki ini

Sejak malam konsert saya kini demam lagu Cinta Harus Memiliki. Kali pertama mendengarnya di konsert itu lah lantas saya jatuh hati dengan lagu itu. Serasa saya sudah 100 kali saya mengulang-ulang-ulang-ulang dengar lagu merdu itu. Konfirm itu lagu Anuar Zain paling saya gemari selepas Jangan Bersedih Lagi, Mungkin dan Ketulusan Hati. Percayalah, rugi pada siapa-siapa yang terlepas konsert Anuar Zain Tiga Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari.

Tahniah buat Anuar Zain dan seluruh teamnya.

Aksi 3D G.I. Joe: Retaliation

Share

Minggu lepas secara eksklusif kami berpeluang menonton empat minit pengenalan G.I. Joe: Retaliation di skrin 3D, TGV, One Utama. Penantian peminat akan berakhir tidak lama lagi apabila filem ditayangkan Mac ini.

Gandingan Channing Tatum, Bruce Willis, The Rock semestinya penonton sudah dapat menelah bagaimana rupa filem ini. Aksinya lebih mendebarkan dan lasak. Luar biasa dari sebelumnya.

Pertempuran di antara ninja semestinya mengujakan mata. Cuma adegan kejar mengejar ninja di celahan gunung kelihatan sangat animasi. Begitupun saya percaya peminat G.I. Joe terutama lelaki pasti tidak akan melepaskan peluang menonton.

Saya yang telah menonton G.I. Joe: The Rise of Cobra semestinya tidak akan melepaskan peluang menonton bersama teman-teman. Tetapi sebelum itu saya merancang menonton semula filem G.I. Joe pertama, bagi mengambil mood semula.

 

Work It. Fab It. Style It

Share

Rancangan realiti TV terbaru Kimora: House of Fab ditayangkan kali pertama hari ini di Style Network. Biarpun belum masuk ke Malaysia namun saya sangat teruja menunggu. Kali ini kisah Kimora berkisah jatuh bangun membina label barunya yang dipasarkan online.

kimora-lee-simons

No one said being fabulous is easy

Dongeng Hansel & Gretel Beraksi

Share

Kisah dua beradik ditinggalkan di hutan dan terperangkap di rumah gula-gula biasa kita dengar sejak kecil. Kemudian mereka terperangkap dengan ahli sihir yang suka menjadikan kanak-kanak sebagai hidangannya. Sebelum itu kanak-kanak lelaki itu disuruh makan agar lebih gemuk.

Ternyata Hansel dan Gretel berjaya memboloskan dirinya dari ahli sihir itu. Sebab itu mereka menjadi kisah mitos paling hebat diceritakan turun-temurun.

Filem ini pula menceritakan apa terjadi selepas mereka menginjak alam dewasa. Dari situlah bermulanya pengembaraan hebat dua beradik memburu ahli sihir. Mereka terkenal diseluruh pelosok daerah. Maka lahirlah Hansel & Gretel: Witch Hunters.

hansel & gretel

Mereka menerima jemputan orang besar di sebuah kampung menyiasat kehilangan kanak-kanak. Di situlah Hansel (Jeremy Renner) dan Gretel (Gemma Arterton) menghadapi cabaran berdepan anggota polis yang bertindak sembrono dan menentang mereka.

Akhirnya penyiasatan mereka membawa jawapan pada kisah silam. Rahsia terbongkar mengapa mereka kebal dari kuasa sihir. Rupa-rupanya ibu mereka adalah ahli sihir baik yang jatuh cinta dengan peladang. Mereka meninggalkan dua beradik itu untuk selamatkan diri dari masyarakat setempat. Ibu dan bapa mereka dibunuh pada hari yang sama.

HANSEL & GRETEL: WITCH HUNTERS

Kami dibawa menonton di pawagam digital Imax yang memberi kepuasan mata. Saya sekali terkejut seolah-olah ada peluru mahu menembusi. Jalan cerita kemas tetapi mampu dibaca kesudahannya pasti ada watak baik yang mati. Namun penuh dengan adegan aksi yang digarap dengan baik.

Tetapi kemunculan watak ahli sihir Muriel semestinya mendapat perhatian kerana watak itu dipegang oleh Famke Janssen, pelakon Bond Girl dan X-Men. Aksi penuh debar juga menjanjikan kepuasan. Hansel & Gretel: Witch Hunters akan di pawagam pada 24 Januari dalam 3D.

HANSEL & GRETEL: WITCH HUNTERS

 

Yummy Magnum Ice Cream

Share

magnum ice cream

 

Hujung minggu lepas saya dijemput ke private party Magnum Ice Cream di Renoma Cafe Gallery, Kuala Lumpur. Semestinya menyeronokkan kerana semuanya pada malam itu adalah mengenai ais krim. Pada malam itu juga Magnum Ice Cream memperkenalkan dua perisa baru mereka—Magnum Chocolate Brownie dan Magnum Chocolate & Strawberry. Percayalah! Kamu seolah-olah kembali ke zaman anak-anak ketika menikmatinya. 

Adaptasi Novel Sehangat Asmara

Share

582337_407394306015679_876929586_n

Sebuah novel tulisan Aisya Sofea kini di Astro Mastika. Drama bersiri Sehangat Asmara lakonan Adi Putra, Rita Rudaini dan Shahrizal Jaszle hari ini mula ditayangkan. Istimewa gambar-gambar dibalik tabir pembikinan poster drama.

 

Kisah Seram MAMA Di Pawagam

Share

Sebelum ke filem prebiu MAMA saya sempat mencari trailer kerana ingin mengetahui serba sedikit mengenainya. Hanya beberapa minit trailer saya sudah tahu filem ini sangat menakutkan. Bagi penggemar filem seram, apa ditunggu lagi. Minit awal filem sudah muncul kelibat-kelibat yang tidak diingini. Sepanjang menonton, saya menutup mata kerana mengelak kejutan dari filem.

MAMA_HIRES

Guillermo del Toro mempersembahkan Mama, filem supernatural thriller yang pasti mendebarkan. Kisah dua beradik Victoria dan Lilly dilarikan bapanya setelah membunuh isteri dan rakan kongsi. Ketika melarikan diri kereta dipandu bapanya tergelincir. Lalu mereka tiba di sebuah pondok dalam hutan. Bapa mereka berniat membunuh dua beradik ini tetapi diselamatkan satu lembaga yang akhirnya membesarkan mereka di pondok itu.

CC18_TP_00041R

Bapa saudara mereka, Lucas tidak pernah putus asa mencari. Lima tahun berlalu barulah dua beradik ini dijumpai tetapi kerana telah lama hidup terasing, mereka jadi seperti liar dan ketakutan. Lucas dan teman wanitanya Annabel cuba memperkenalkan kehidupan normal kepada Victoria dan Lilly. Begitupun lembaga yang menjaga mereka selama ini telah mengekori ke mana sahaja mereka pergi.

CC18_TP3_00004R

 

Seandainya kamu penggemar kisah seram, MAMA mampu menambah debaran dengan banyak adegan seram. Seorang teman memberi komen, pulang ke rumah tidak lelap mata kerana masih terbayang-bayang. MAMA di pawagan bermula 17 Januari 2013.

Air Mata Tertumpah Kerana Habibie & Ainun

Share

20130116-113000.jpg

Air mata saya tertumpah di kota Bandung ketika menonton filem Habibie & Ainun. Kala seorang teman dari Bandung menyarankan kami menonton filem itu saya buat endah tak endah sekadar akur. Apa salahnya! Sangka saya ia sebuah lagi kisah cinta digarap untuk dijadikan hiburan.

Separuh jalan hati mula bertanya, ini kisah benar. Lalu teman saya menerangkan ini kisah mantan perdana menteri ketiga mereka. Filem dari judul sama sebuah novel terlaris 2011 dan menjadi inspirasi kepada semua. Pengarah Faozan Rizal ternyata berjaya menyentuh perasaan seisi pawagam.

Lakonan Reza Haradi dan Bunga Citra Lestari juga sangat menyakinkan. Dihujung cerita air mata tak tertahan lagi. Gugur sendirinya tanpa dapat diseka. Sudah sekian lama menonton filem tanpa ada rasa. Sudah lama tidak ada filem yang mampu membuat air mata saya tumpah.

Sayu hatinya terbawa-bawa di luar pawagam. Saya menyesal kerana tidak membeli novel Habibie & Ainun tetapi sudah dikirim melalui teman di seberang. Menatap gambar sebenar ketika Habibie meratapi kemangkatan Ainun, saya kagum melihat seorang suami mencintai isterinya sebegitu rupa. Lima bintang!

Anugerah Juara Lagu Berlangsung

Share

1215_10151242908848401_452715958_n

Anugerah Juara Lagu 27 bakal berlangsung sebentar lagi. Acara tahunan ditunggu-tunggu ini mempertaruhkan lagu-lagu popular sepanjang 2012. Hati berbelah—Mojo or Bedroom Sanctuary? Bertemakan Gabungan Seni dan Muzik, diharap tiada yang aneh-aneh melinatas di karpet merah. Sayangnya Yuna tidak dapat menyertai acara kerana tuntutan kerja di Amerika Syarikat dan digantikan Aizat.

ajl 27

Maskulin Januari 2013

Share

20121227-003505.jpg

Perang majalah di pasaran buat tahun baru 2013. Pilihan Elegan buat bacaan semua, ruangan Kata Wanita. Apakah bakal terjadi kepada Sally? Majalah lelaki Maskulin kini di pasaran. Eksklusif muka depan, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Ahmad Izham Omar.