Share

Isu ini saya debatkan dalam majalah LISA Januari lalu. Saya nak kongsi figura wanita yang pelbagai. Cantik semuanya tetapi biasalah, yang dipaparkan oleh media masa adalah tinggi lampai bertubuh lepas, berkaki panjang adalah paling cantik aka model atau selebriti yang kita sering lihat dalam majalah, kaca TV atau filem atau kempen-kempen jenama fesyen.

Ada tujuh figura yang dikenal pasti di sini jadi bentuk tubuh manakah paling dekat dengan diri kamu? Saya? Belian kut… Hahaha… Adakala kita susah hendak mencari gaya dan pakaian yang paling sesuai dengan bentuk tubuh kita. Saya kalau sudah menyarung baju yang tepat, tak boleh tidak harus membelinya kerana jarang dapat jumpa lagi.

7 Jenis Bentuk Badan: Kenali Dirimu

Oleh: Ain Johari

Memetik kata-kata pakar fesyen yang terkenal melalui rancangan hit Extreme Makeover, Sam Saboura, tiada siapa yang dilahirkan dengan bentuk badan yang serupa. Setiap orang hadir dengan kombinasi tubuh badan yang unik dan tidak perlu diubah menjadi susuk badan orang lain. Apa yang penting kenali diri sepenuhnya dan dengan fesyen mampu meraikan bentuk badanmu.

  • Bentuk pear

Deskripsi: Kamu memiliki bentuk badan yang kecil di bahagian atas dan besar di bahagian pinggul ke bawah. Bidang bahu agak sempit, payudara pula berukuran kecil dan sederhana, namun apabila tiba di bahagian pinggul ke peha, ukurannya jauh berbeza. Matlamat si bertubuh pear adalah untuk meminimakan jurang perbezaan antara bahagian atas dan bawah badan dengan menyeimbangkannya. Permainan visual adalah paling terbaik dengan memberi tumpuan pada bahagian atas badan (bahu) dan mengaburi pandangan terhadap pinggul dan peha yang besar.

Aset terbaik: Bahagian atas badan (bahu dan dada) dan pinggang yang ramping

Tip: Buat kamu yang memiliki bentuk badan sebegini, menyarung baju berpotongan perahu di leher adalah terbaik memandangkan ia akan memberi efek bahu yang luas dan selari denganbahagian pinggul. Selain itu, teknik meletak pad pada bahu turut mampu memberikan ilusi bahu lebih luas. Selain fokus pada bahagian atas, kamu juga boleh mengaburi mata yang melihat dengan menyarung seluar atau skirt yang berwarna gelap di bahagian bawah. Elakkan daripada menyarung seluar atau skirt ketat atau memiliki corak yang mencolok mata sekiranya kamu tidak mahu bahagian drumstik menjadi tumpuan.

  • The Willow (Badan selari)

Deskripsi: Kamu memiliki tubuh tinggi lampai dengan susuk badan yang kurus, berpayudara yang kecil, pinggang dan pinggul yang selari dan sepasang kaki yang panjang dan kurus. Susuk badan sebegini adalah persis model di pentas peragaan. Namun buat si empunya diri, kesukaran yang perlu dihadapi adalah ketika membeli pakaian baru dek kerana payah untuk mendapatkan saiz yang tepat terutama sekali seluar. Saiz kamu kecil, tetapi panjang seluar sering kali tidak kena, singkat.

Tip: Kamu beruntung memiliki tubuh badan yang tinggi lampai dan sering menjadi pilihan pereka fesyen untuk menggayakan rekaan mereka. Namun apabila berada dalam kalangan teman-teman yang lebih rendah darimu, kamu boleh cuba untuk tidak mengenakan stileto atau kasut tumit tinggi. Jangan bimbang, kamu masih boleh kelihatan menawan dengan kasut bertumit rata. Pemilihan baju yang labuh dan bercorak dapat memberikan ilusi tubuh yang lebih besar dan dapat menyeimbangkan ukuran badan dan kaki.Elakkan daripada menyarung mini skirt kerana ia akan memberi dimensi kaki yang lebih panjang sebaiknya pilihlah skirt bawah lutut atau skirt labuh dan gayakannya dengan penuh keyakinan.

  • Hourglass (Jam pasir)

Deskripsi: Kamu memiliki bentuk badan idaman iaitu ukuran dada dan pinggul yang berpadanan (sama menonjol) dengan pinggang yang langsing. Jangan hairan sekiranya ada yang mengatakan kamu tetap kelihatan seksi walau hanya mengenakan kemeja T dan jeans lusuh.

Tip: Bersyukurlah kamu kerana dikurniakan tubuh badan yang menggiurkan dan sering dicemburui oleh wanita lain. Gaya kamu sentiasa menjadi perhatian terutama sekali dengan susuk montok itu. Kebiasaannya kamu tidak mempunyai masalah dalam hal gaya. Tampil ringkas dengan gaya klasik skirt potongan pensil yang mengecil dari paras pinggul ke bawah juga sudah cukup untuk menyerlahkan dirimu. Namun begitu, elakkan daripada keterlaluan dalam menyerlahkan badan montokmu kerana kamu juga tidak mahu terlepas untuk menggayakan aksesori sebagai pelengkap dan pencuri tumpuan.

  • Bentuk epal

Deskripsi: Kamu memiliki bentuk badan yang seakan membulat dengan dada yang penuh dan tumpuan terarah pada tengah badan iaitu perut kemudian pinggul yang lebar dan mengecil ke bahagian bawah. Matlamat utama kamu adalah untuk mengalih tumpuan orang daripada melihat kawasan tengah badan kamu dan mewujudkan ilusi curvy pada bahagian pinggang.

Tip: Buat kamu yang berbadan sebegini, jangan berasa rendah diri sebaliknya tampil yakin dengan idea fesyen yang penuh magis ini. Cuba sarung baju dengan potongan V pada leher kerana ia akan memberikan ilusi dada yang lebih yang sempit dan leher yang jinjang. Permainan warna juga dapat membantu, seperti biasa warna gelap seperti gaya monokromatik amat sesuai untuk digayakan bagi menyembunyikan bahagian tumpuan. Selain itu, elakkan daripada menyarung baju yang mempunyai corak pada bahagian badan, sebaiknya pilihlah baju polos tanpa corak. Satu contoh gaya yang boleh kamu contohi adalah mengenakan satu baju polos berwarna gelap (untuk sembunyikan kawasan tumpuan) dan sarungkan bersama skirt potongan pensil dengan corak melintang bagi memberi ilusi pinggul yang lebih lebar dan sekali gus mengalih pandangan daripada bahagian tumpuan.

body2 copy

  • Segi empat tepat (pensil)

Deskripsi: Kamu memiliki bentuk badan yang ukurannya melurus dari bahagian dada hingga ke pinggul. Keseluruhan ini memberikan definisi badan lurus tanpa kesan lengkungan (curvy) pada badan.

Tip: Walaupun kamu memiliki tubuh badan tanpa lengkungan dan hanya lurus ke bawah, kamu tidak perlu risau kerana dengan fesyen akan membuatkan kamu sedar bahawa tubuh badan kamu adalah antara yang mudah untuk digayakan. Helah mudah, sebelum menyarung sebarang dress, sarungkan dahulu korset pada sebelah dalam. Jika dada kamu agak kecil, baju dalam dengan span tebal ternyata membantu. Bantuan korset berupaya membentuk pinggang dan tambahan aksesori tali pinggang dapat menyerlahkan lagi bahagian pinggangmu. Pemilihan dress atau baju body hugging harus dielakkan supaya orang tidak sempat menilik bentuk badan sebenar kamu.

  • Bentuk berlian

Deskripsi: Kamu memiliki ukuran dada yang luas dan payudara yang besar dengan ukuran pinggang dan pinggul yang selari namun ukuran peha ke kaki mengecil.

Tip: Kamu sebenarnya memiliki masalah yang hampir serupa dengan bentuk epal, namun tumpuan kamu bermula dari paras pinggang ke atas.

Sekali lagi permainan warna memainkan helahnya dalam berfesyen. Bagi mengelak daripada bahagian dada dan bahu menjadi tumpuan, alihkan pandangan dengan pemakaian rona gelap. Elakkan daripada memilih fabrik yang bercorak, sebaliknya biarkan ia kosong dan alihkan tumpuan dengan menyarung seluar dan skirt bercorak atau berwarna kontra. Ia mampu mencuri tumpuan. Elakkan juga memakai padding pada bahagian bahu sekiranya tidak mahu kelihatan seperti pemain ragbi.

  • Kecil molek (petite)

Deskripsi: Kamu memiliki bentuk badan dengan rangka yang kecil, rendah serta bersaiz comel keanak-anakan. Tapi satu perkara yang perlu diambil perhatian oleh si empunya badan adalah pengawalan berat badan kerana kamu akan kelihatan berganda dengan penambahan berat drastik.

Tip: Wanita yang berbadan kecil lazimnya tidak mempunyai masalah dalam pemilihan baju. Pilihan saiz paling kecil, S atau XS pasti tersarung cantik. Tetapi, kamu juga harus bijak bermain dengan helah visual dalam seni fesyen. Curi pandangan dengan memberi ilusi tinggi melalui pemilihan corak jalur menegak pada sehelai skirt atau palazo. Jeans dengan potongan boot cut turut dapat memberi ilusi kaki yang panjang pada gaya kamu. Padankan pula dengan baju yang berona terang dan sarung sepatu tinggi supaya efek tinggi dan langsing dapat kamu ciptakan.