Share

Kali pertama bertentang mata dengan peminat di Malaysia, Jonas Brothers mendendangkan 28 lagu termasuk lagu When You Look Me In The Eyes, Paranoid, Lovebug,  Burnin’ Up, SOS, Just In Love, Gotta Find You, Hello  Beautiful dan tiga lagu baru mereka Wedding Bells, Let’s Go dan First Time.

Bagi peminat tegar mereka, konsert yang berlangsung pada 24 Oktober 2012 bermula jam 8.30 mlm itu sangat menghiburkan. Seramai 3,000 peminat sudah setia menunggu dengan sorakan biarpun mereka belum muncul. Semestinya mereka mahu melepaskan rindu setelah dua tahun Jonas Brothers berehat. Jelajah Asia ini merupakan comeback dilakukan tiga beradik ini.

Nick, 20, Joe, 23, dan abangnya Kevin, 24, menjadi kegilaan ramai pada awal kemunculan mereka pada 2008. Mereka singgah di Manila dan Singapura sebelum tiba di Kuala Lumpur. Jonas Brothers dikenali selepas diperkenalkan dalam rancangan Hannah Montana. Kemudian muncul dalam filem Disney Channel Camp Rock dan Camp Rock 2: The Final Jam.

Nick pernah dikaitkan dengan Miley Cyrus manakala Joe pula pernah bersama Taylor Swift. Kini masing-masing telah meningkat dewasa. Kevin telah pun berkahwin dan muncul dalam siri realiti Married to Jonas siaran di Channel E!. Ternyata ketika ditemu bual menerusi Skype, tiga beradik ini tidak sabar-sabar lagi untuk muncul dengan album baru. Mereka juga merancang menawan kawasan baru terutama di negara Asia.

Antara wajah-wajah ceria peminat setia Jonas Brothers. Kebanyakan mereka adalah remaja belasan tahun yang turut menyanyi mengikut Jonas Brothers. Tiap baris lirik dihafal. Lensa kamera pula tak henti-henti memancar merakamkan saat manis mereka bertemu artis pujaan. Ada di antara mereka meluahkan rasa tidak puas kerana masih mendambakan Jonas Brothers di masa akan datang.