Share

anuar zainTugasan menggunung tidak mengizinkan saya singgah ke Serai, Life Centre, Kuala Lumpur. Hujan pula turun tak henti-henti menyebabkan lalu lintas sesak. Begitupun saya sentiasa mengikuti perkembangan dua penyanyi hebat ini. Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah setahun lalu telah bergabung mengadakan sebuah konsert amal anjuran Kelab Sukan & Rekreasi Petronas (KSRP) di Dewan Filharmonik Petronas.

Iringan pemuzik hebat, di bawah pimpinan pengarah muzik Jenny Chin, bersama penampilan khas oleh Mac Chew (Keyboards), Aji ( Guitars), Kelly ( Bass), Steve Thornton (Percussions), John Thomas (Drums) , and Eja & Widy (Penyanyi latar) telah menyemarakkan lagi kolaborasi seni kedua-dua artis dinamik ini.

Senarai lagu pilihan pula tidak asing lagi dikalangan peminat mereka berdua. Ada lagu Bila Resah, Mana Mungkin, Perlukan Cinta, Kembalilah Sayang, Cinta Harus Memiliki (lagu paling digemari saya), Hakikat Cinta/Keabadian Cinta dan banyak lagi didendangkan secara solo bergilir-gilir atau duet.

Semestinya gabungan saya sebut di atas telah menghasilkan sebuah persembahan hebat lagi bertenaga. Kehebatan itu mampu didengar kini kerana terhasilnya album live mereka berdua. Buat mereka yang hadir pada konsert setahun lalu, ini adalah hadiah paling berharga mahu dijadikan kenang-kenangan. Bagi yang terlepas peluang, nah, dengarkan sendiri bukti kehebatan mereka yang diperkatakan itu.

“Kami telah lama saling mengenali dan bersama berkecimpung dalam industri muzik. Semestinya, dia adalah seorang yang saya amat kagumi, dan  tentunya salah satu daripada rakan duet kegemaran saya,” ujar Dayang.

dayang

“Dayang adalah seorang yang sangat senang untuk saya bekerja dan berkongsi dengan, dia begitu berbakat dan saya amat berbesar hati dapat berkarya dengannya, lebih-lebih lagi untuk projek khas ini,” ujar Anuar pula.

Album Anuar dan Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas  memuatkan sejumlah 14 lagu yang telah dipilih dengan teliti. Empat darinya adalah duet istimewa Anuar dan Dayang.