Share

Dari Singgang ke Gulai Lemak Kuning. Sejak mak kurang sihat, agak lama saya tidak merasa masakan air tangannya. Rindu bukan kepalang. Teringat waktu kecil, saya suka ikan tongkol dimasak singgang. Bahagian kepala pastinya paling enak dan telur ikan memang saya suka. Masih teringat mak akan simpan dan suapkan saya telur ikan tongkol singgang.

Selalunya mak akan masak ikan tongkol singgang dalam jumlah yang banyak. Selain untuk jamuan hari itu, sebahagian lagi disimpan untuk masak gulai kuning esoknya. Mak kata singgang jadi lebih enak kalau diperangat satu malam.

Setelah menjaga mak, saya mula pandai turun ke dapur. Saya salin semua resipi mak. Saya rajin mencuba dan akan bertanya mak cara-caranya. Balik Kuala Lumpur pun sama saya akan masak kalau rindu bertandang.

Hari ini saya ingin sekali berkongsi resipi bonda tercinta. Mula-mula kita akan masak singgang terlebih dulu. Sebenarnya masak campak-campak saja. Terserah kamu hendak berapa banyak bawang, lengkuas dan halia mahu dimasak.

image

Bahan-bahan Singgang:
Ikan Tongkol
1 inci lengkuas dan halia (dihiris mayang)
4 ulas bawang putih – dihiris mayang (tapi kata mak nak tahan lama jangan masukkan tapi saya suka bawang putih)
2 tangkai lada burung (kalau nak pedas)
2 asam keping
3 cawan air
Secubit garam & gula
2 susu besar budu (sebagai perisa)

Cara Membuatnya:
Ikan tongkol direbus dengan bahan-bahan tadi. Biarkan sehingga mendidih.

Bahan-bahan Gulai:
1 inci kunyit & lengkuas
3 tangkai lada burung
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 cawan santan
Secubit garam & gula
2 sudu besar budu atau belacan
Timun atau terung (sayur jika mahu)
Ikan singgang bersama secawan kuah singgang)

Cara Membuatnya:
Tumbuk lumat bahan-bahan seperti kunyit, lengkuas, lada burung, bawang putih & bawang merah. Saya lebih suka tumbuk menggunakan lesung dari kisar dengan mesin pengisar. Didihkan santan dan masukkan bahan ditumbuk tadi. Kacau selalu agar santan tidak pecah.

Setelah itu masukkan ikan tongkol singgang dengan kuah serta bahan singgang sekali. Pilihlah sayur ikut selera masing-masing. Mungkin timun atau terung. Akhir sekali masukkan garam, gula dan budu secukup rasa. Kalau mahu belacan, pastikan ditumbuk sekali dengan bahan-bahan di atas.

Mudah bukan? Selamat mencuba dan kalau sudi kongsi dengan saya… boleh post fb marini matzain atau IG/twitter @marinimz kerana saya ingin melihat hasilnya.