Share

Di sebalik kemasyhuran selebriti tidak mengira penyanyi, pelakon, pengacara, selebriti TV atau model, ada beberapa taktik tertentu yang mampu mengubah nasib mereka hanya dalam masa singkat.

oleh Marini Mat Zain

Senario 1

Selebriti cantik jelita bertaraf C-List mahu diangkat menjadi A-List. Oleh itu pengurusnya merancang pertemuan selebriti A dengan seorang pemain bola sepak tersohor. Mereka lalu jadi buruan paparazzi kerana dikatakan pasangan secocok. Keadaan ini melonjak nama selebriti A sehingga mendapat lebih banyak tawaran menyanyi. Lalu dia telah berjaya berada di takhta A-List sejak itu.

Senario 2

Malam anugerah gilang-gemilang, pelakon B bersama pasangan baru melangkah keluar dari limosin, mendapat perhatian peminat sekeliling. Keadaan hingar-bingar kerana namanya dipekik peminat. Apa lagi lensa kamera lalu mencari-cari siapakah gerangan pelakon mendapat perhatian itu. Kerana itu pelakon bertaraf B-List itu dipandang tinggi imejnya. Sebalik kejadian itu, kelihatan si pengurus membuat bayaran kepada sekumpulan peminat sebagai upah meriuhkan suasana di tepi permaidani merah tadi.

Senario 3

Pergelutan di belakang pentas, sepatutnya model A memakai pakaian penutup. Tetapi kebijaksanaan model B merampasnya telah memberikan impak kepada kerjayanya. Berjalan memakai pakaian pada penutup sesebuah peragaan fesyen sambil memimpin tangan pereka fesyen naknya bernama besar seperti Karl Lagerfeld, pantas meletak model B sebaris supermodel lain.

Senario 4

Melihat wajahnya, pendatang baru si gadis 16 wajahnya agak pelik. Hidungnya terletak dan dagunya sangat runcing. Wajah keremajaannya sudah tiada kerana hidung aslinya sudah tiada dan dagunya pula disuntik. Katanya, hadiah hari jadi ibu bapa membelanjakan sejumlah wang untuk mencantikkan wajah kerana pelaburan, dia bakal dijanjikan menjadi artis tersohor. Aneh bukan?

Nah, empat senario tadi mungkin hanya berlaku di Hollywood. Namun, apakah di sebaliknya yang tersirat? Segala-gala dikecap, setiap kemasyhuran diraih, adalah terlebih dahulu dirancang teliti. Jarang adanya tuah datang bergolek seperti berlaku pada diri Dato’ Siti Nurhaliza dan Mawi. Semua orang perlu berusaha keras kerana telah banyak dilihat artis pernah menghasilkan album tetapi kesudahannya menjadi penyanyi kelab. Pernah melonjak nama pelakon filem tetapi sejak akhir-akhir ini hendak dapat tawaran drama pun susah. Di manakah silapnya percaturan mereka?

Sebelum menjadi selebriti, mereka perlu mengenal pasti kelebihan diri terletak di tingkat mana. Bukan semua orang bertuah punya X-factor yang rezeki datang bergolek. Menengok pula yang bergolek datang itu berkualiti atau sekadar menjerumuskan diri. Maksudnya, sehinggakan mahu ke majlis rasmi tiada yang mahu menaja pakaian. “Maaf, personaliti dia tidak kena dengan imej produk kami,” itulah alasan sering didengari. Kesukaran juga buat kita orang majalah, mencari pakaian untuk disarung kepada sesetengah artis ini. Biarpun pakaian ditawarkan untuk muka depan majalah. Kadang-kadang mereka tenggelam dengan dunia glamor tiada bertepi atau sekadar ‘rasa’ saja diri glamor, sedangkan kita dalam kesukaran mencari artis paling sesuai dengan client dan pengiklan kita.

Pertelagahan dua pendapat ini—Sama ada populariti lebih penting atau bina jenama diri ke peringkat kelompok high end? Menyentuh populariti tidak disangkal lagi si selebriti akan dikenali ribuan peminat, maka mudah menang anugerah melibatkan undian atau SMS. Manakala penjenamaan diri lebih ke kelompok atas pula, selebriti itu juga dikenali namun sukar meraih lebih undi atau SMS. Begitu pun, mereka banyaknya menjadi duta produk jenama antarabangsa. Bukan tidak ada peminat namun golongan peminat mereka tergolong daripada mereka berpendidikan, berpendapatan tinggi dan atasan yang tidak mungkin rajin mengundi atau berSMS. Cara mereka menghargai selebriti diminati berbeza.

Ada juga insan selebriti bertuah yang mampu meraih populariti dan sekaligus menjenamakan dirinya sebagai duta produk antarabangsa tetapi amatlah jarang berlaku. Langkah pertama apabila melangkah ke dunia hiburan tidak mengira seni lakon, menyanyi dan peragaan, usahlah lagi wajah kelihatan bersepah di mana-mana. Jikalau hendak diikutkan, jenguk kedai mamak jangan sekali-kali (itu jika dikira paling ekstrem). Pakaian pula perlulah sentiasa segak takut ada pula peminat menghampiri dan mahu bergambar, tidaklah diri keluar selekeh dalam laman blog peribadi peminat itu. Jika tiada undangan ke majlis seni atau anugerah, sekadar menumpang jemputan orang juga perlu dielakkan. Biar diri tampak mahal asalkan jenama diri melonjak sahamnya.

Katie Holmes in tod’s trench. Dulu dia hanya gadis biasa serba ringkas dan tidak mendapat perhatian media.

 

Jika selebriti itu sedia bijak merencanakan perjalanan seninya, dia hanya perlu mengambil pengurus, pembantu peribadi dan lain-lain untuk menjalankan rancangannya. Melainkan jika tahu kelemahan diri, tidak pandai mengurus diri, seorang selebriti patut mencari pengurus yang bijak menjadi mastermind sekaligus menguruskan segala kegiatan sehingga ke kemuncak. Perlu ingat, mengambil seorang pengurus bukan sekadar ada orang menemani ke sana ke mari daripada kelompok kenalan atau saudara dekat. Bukan kerja mereka sekadar menjadi pak pacak mengendong persalinan ke semua lokasi dan sekadar mampu menguruskan kelab peminat juga mengisi jadual harian dalam diari. Lebih daripada itu pengurus perlu tahu strategi mencari job berkualiti dan membina penjenamaan artisnya agar cantik di mata agensi yang mewakili produk antarabangsa.

Jauhkan diri terjatuh ke tangan individu yang punya kepentingan peribadi sekadar mahu mengambil kesempatan. Selayaknya selebriti mengupah pengurus serius dan berkaliber. Punya latar belakang tidak boleh disangkal lagi dan pernah meletak seorang artis lain di bawah pengurusannya sehingga berjaya. Popular tidak semestinya mampu meraih keuntungan. Mereka menerima tawaran tidak putus-putus dan jika semua hendak diterima, mana letaknya kualiti diri. Kemewahan itu pastinya datang sementara. Jadi cerewet bertempat sesekali perlu. Nicholas Saputra contohnya hanya berlakon filem setahun sekali dan memilih skrip paling berkesan. Selama menunggu kemunculannya peminat jadi histeria. Tidak terpilih menjadi artis popular juga mampu mewah dengan selonggok wang sekadar menjadi duta satu dua produk. Paling tidak sebagai permulaan menjadi wakil jurucakap produk dan artis terpilih untuk testimonial produk.

Kadang-kadang menonton E Channel, Astro, bukan sekadar melopong melihat Jessica Alba dan Beyonce seksi atau Johnny Depp dan George Clooney kacak. Cubalah mengambil iktibar daripada perjalanan seni mereka. Banyak jua bahan bacaan boleh dijadikan panduan dalam merencanakan kejayaan diri. Apakah dunia hiburan di Malaysia terlalu ditenggelami rasa glamor sehingga jarangnya ada yang berpijak di bumi nyata. Apa yang saya mampu katakan, sayangnya!