Share

Saat mula menonton Star Trek Into Darkness di TGV, One Utama, sementelah tayangan di Imax telah memberi kesan visual mendebarkan, saya dan beberapa teman media berasa tidak puas. Malah kami menunggu mengharap selepas urutan nama pendokong produksi selesai akan ada klip pendek kesinambungan kisah atau sedikit sedutan seperti sekual filem X-Men. Ternyata hampa!

Bukan apa, kisah ini bermula dengan seorang anak kecil yang sedang nazak disembuhkan dengan hanya menggunakan darah John Harrison. Sebagai galang ganti, bapa kepada anak kecil itu mengorbankan dirinya sebagai kuncu John Harrison. Sementara itu Kepten Kirk pula melanggar peraturan ketika mahu menyelamatkan Spock.

STAR TREK INTO DARKNESS

Dia diturunkan pangkat tetapi tragedi serangan di Starfleet ketika mesyuarat mengubah segalanya. Kepten Kirk dan anak kapalnya diberi kepercayaan memburu John Harrison dan mereka mendapati lelaki itu lelaki luar biasa. Dia sebenarnya manusia yang tidur sepanjang 300 tahun dan kembali menuntut kaumnya di dalam torpedoes.

Setelah berjaya menawan John Harrison, ketua mereka memutuskan menjatuhkan Enterprise. Walaupun Kepten Kirk merayu menyelamatkan anak-anak kapal tetapi ditolak mentah-mentah. Ternyata filem ini menonjolkan kisah setia kawan dan kehebatan bekerja secara berkumpulan.

HHSpock yang dikatakan tidak memiliki perasaan, kerana memilih untuk berperasaan begitu, akhirnya mengalirkan air mata ketika berdepan kematian Kepten Kirk. Keadaan itu mendorong dirinya memburu John Harrison demi membalas dendam. Sementara itu di makmal, salah seorang doktor Enterprise mendapati, darah John Harrison mampu menghidupkan semula Kepten Kirk, seperti mana darah itu telah menyembuhkan penyakit kanak-kanak di awal penceritaan filem ini.

Kerana itu, kami menunggu kalau-kalau ada klip akhir yang menunjukkan tindak balas kanak-kanak itu. Mungkinkah sesiapa sahaja menerima darah John Harrison bakal menjadi jahat sepertinya? Ataupun bertukar menjadi monster? Sayangnya tiada kesinambungan ditunjukkan. Ternyata filem arahan J.J. Abrams ini berjaya menimbulkan tanda tanya di hati kita.

HH

 

Saya sarankan filem ini ditonton kerana aksi-aksi hebat ditonjolkan sangat mendebarkan. Selain ia mengembalikan kenangan silam, drama bersiri Star Trek di kaca TV anda. Terutama dengan penampilan istimewa Mister Spock, Leonard Nimoy, pelakon asal Star Trek.

Filem Star Trek Into Darkness didukungi pelakon hebat seperti Chris Pine, Benedict Cumberbatch, Zachary Quinto, Zoe Saldana dan ramai lagi. Saksikan filem ini di pawagam 16 Mei 2013.

HH