Kisah dua beradik ditinggalkan di hutan dan terperangkap di rumah gula-gula biasa kita dengar sejak kecil. Kemudian mereka terperangkap dengan ahli sihir yang suka menjadikan kanak-kanak sebagai hidangannya. Sebelum itu kanak-kanak lelaki itu disuruh makan agar lebih gemuk.
Ternyata Hansel dan Gretel berjaya memboloskan dirinya dari ahli sihir itu. Sebab itu mereka menjadi kisah mitos paling hebat diceritakan turun-temurun.
Filem ini pula menceritakan apa terjadi selepas mereka menginjak alam dewasa. Dari situlah bermulanya pengembaraan hebat dua beradik memburu ahli sihir. Mereka terkenal diseluruh pelosok daerah. Maka lahirlah Hansel & Gretel: Witch Hunters.
Mereka menerima jemputan orang besar di sebuah kampung menyiasat kehilangan kanak-kanak. Di situlah Hansel (Jeremy Renner) dan Gretel (Gemma Arterton) menghadapi cabaran berdepan anggota polis yang bertindak sembrono dan menentang mereka.
Akhirnya penyiasatan mereka membawa jawapan pada kisah silam. Rahsia terbongkar mengapa mereka kebal dari kuasa sihir. Rupa-rupanya ibu mereka adalah ahli sihir baik yang jatuh cinta dengan peladang. Mereka meninggalkan dua beradik itu untuk selamatkan diri dari masyarakat setempat. Ibu dan bapa mereka dibunuh pada hari yang sama.
Kami dibawa menonton di pawagam digital Imax yang memberi kepuasan mata. Saya sekali terkejut seolah-olah ada peluru mahu menembusi. Jalan cerita kemas tetapi mampu dibaca kesudahannya pasti ada watak baik yang mati. Namun penuh dengan adegan aksi yang digarap dengan baik.
Tetapi kemunculan watak ahli sihir Muriel semestinya mendapat perhatian kerana watak itu dipegang oleh Famke Janssen, pelakon Bond Girl dan X-Men. Aksi penuh debar juga menjanjikan kepuasan. Hansel & Gretel: Witch Hunters akan di pawagam pada 24 Januari dalam 3D.