Suatu malam saya tidak lelap tidur (masih). Lantas saya mencapai telefon bimbit dan meneroka media social. Semestinya Instagram jadi kegemaran, lantas mata saya fokus pada susuk tubuh sedang berkongsi kisah dengan titisan air mata.
Amelina seorang penyanyi dangdut suatu ketika dahulu mencuba nasib kembali di dunia seni. Kehilangan Amelina saat dipuncak kerjaya menjadi perbualan hangat. Sementelah dia menghilangkan diri bersama suami daripada keluarganya sendiri juga.
Kembalinya dia beberapa tahun ini membuka kisah lama. Dia bercerita kisahnya saat kehilangan bapa. Esakan tangis Amelina mengimbau kembali kepada kisah saya kehilangan ayah.
“The greatest gift I ever had came from Allah, I call him Ayah. I am not ashamed to say that no man I ever met was my father’s equal, and I never loved any other man as much.”
Tahun pertama meminjam kata-kata indah orang. Hari ini tahun ketiga kami kehilangan. Aku belum benar-benar grieving. Ini kali pertama aku menulis mengenai ayah. Masih kekok.
Sakit tua ayah bermula dengan demam pajang. Emak menjaga ayah. Namun saat kedua-duanya sakit, aku lantas balik kampung hampir setahun. Kedua-duanya jadi lemah.
Aku duduk hospital teman mak keluar masuk wad akibat kencing manis, manakala cucu lelaki jaga ayah di rumah.
Aku mengambil alih semua tugas—Memasak, membasuh, mengemas, menghantar mereka temu janji hospital, treatment dan sebagainya dibantu anak saudara.
Tengok mereka grow old together, masing-masing mentertawakan sama sendiri kerana sakit urat hendak bangun berdiri, hati aku terhibur.
Percayalah, kalian patut memanjat syukur kalau kamu punya pasangan hidup. Aku pasti mereka bukan pasangan sempurna namun mereka bahagia. Bukan semua orang bernasib baik punya teman untuk bergaduh, bermanja atau merajuk.
Aku melihat mereka dengan rasa kagum dan alangkah cemburunya rasa hati tidak berpeluang menikmati itu.
Semakin hari kesihatan ayah makin susut. Bersihkan kencing berak, aku lari ke toilet menangis tapi sapu air mata sampai kering kerana di depan mereka aku perlu gembira.
Kali akhir bawa ayah hospital tukar lampin dalam toilet wanita. Mujur semua mengerti tanggung jawab aku dan menunggu aku dan ayah keluar. Saat doktor membuat pemeriksaan bulanan, aku melihat riak wajah doktor. Aku menahan tangis…
Sampai ketika ayah tidak lagi berselera menjamah makanan, kami berusaha menjamunya dengan semua menu kegemarannya. Kata emak, suatu saat rezeki kita sudah ditutup. Redhakan lah.
Ketika membancuh minuman vitamin oren untuk ayah, terbayangkan waktu kecil saat aku demam, ayah yang menyediakan jus oren untuk aku.
Kami mula memanggil doktor ke rumah kerana ayah semakin susut dan terlantar di katil. Kami mengerti apa bakal terjadi. Seluruh keluarga dipanggil pulang dan mujur semua sempat pulang bertemu ayah.
Saat akhir ayah menggenggam setiap tangan anak-anak dan emak seolah-olah tidak mahu melepaskan kami. Bimbang meninggalkan kami mungkin atau tahu kami akan merinduinya. Diusap tangan kami tanpa mahu melepaskannya.
Aku paling akhir, menitipkan air zamzam ke bibir kering ayah.
Aku dikejutkan kakak, “Bangun, ayah dah tak ada.”
Pada ketika itu, hati aku tinggal kosong. Selamat tinggal ayah. Al-fatihah.