Malaysia Fashion Week 2025 (MFW25), anjuran STYLO International, kembali mencetuskan fenomena dalam industri fesyen tanah air dengan meraikan kreativiti pereka muda dan pelajar fesyen tempatan dalam satu persembahan penuh gaya di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Acara tahun ini mencipta sejarah tersendiri apabila pentas peragaan sepanjang 1.075 kilometer diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Pentas Peragaan Terpanjang di Malaysia, satu pencapaian membanggakan yang menandakan keupayaan Malaysia bersaing di pentas fesyen antarabangsa.
Malaysia Fashion Week terus menjadi ruang berprestij yang mengangkat bakat tempatan, daripada nama-nama baharu yang sedang meningkat naik sehinggalah mereka yang sudah mapan dalam industri. Dengan tema streetwear, MFW25 meraikan semangat berani, dinamik dan moden yang mencerminkan gaya hidup generasi muda Malaysia hari ini.
“Streetwear adalah simbol ekspresi generasi muda yang berani dan kreatif. Ia bukan sekadar gaya berpakaian, tetapi bahasa budaya yang melambangkan identiti dan keaslian diri. Inilahsemangat yang ingin kita tonjolkan kepada dunia; bahawa Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan kuasa fesyen global,” ujar Bon Zainal, Pengerusi bersama STYLO International.
Barisan rekaan yang diperagakan menampilkan hasil kerja pelajar fesyen dari seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Perak, Terengganu dan Kelantan, serta pereka dari Malaysian Bumiputra Designer Association (MBDA). Warisan budaya tetap diberi penghormatan apabila pertunjukan dibuka dengan Ratu Kebaya, simbol keanggunan dan perpaduan pelbagai bangsa, disusuli persembahan Dewi Hijab Malaysia yang membawa mesej pemerkasaan wanita berhijab melalui gaya dan identiti tersendiri.
Pertunjukan diteruskan dengan persembahan rekaan oleh pereka muda dan pelajar fesyen tempatan, sebelum acara berhenti seketika bagi memberi penghormatan kepada aktivis Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Acara kemuncak menampilkan peragaan oleh model kanak-kanak dan remaja dari Pulau Pinang yang menutup pentas finale dengan penuh gaya, diiringi latar bunyi alam yang menenangkan. Majlis turut menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan oleh Mr. Jwan Heah, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, kepada wakil penganjur di hadapan hampir 300 tetamu — sekali gus menandakan pencapaian bersejarah buat Malaysia Fashion Week 2025.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tengku Laksamana Selangor; YBhg Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL; YBhg Encik Fauzy Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL; Dato’ Nancy Yeoh, Pengerusi STYLO International; Syed Azhar Syed Nadzir, Ketua Pegawai Eksekutif Elang Wah Sdn. Bhd dan Bon Zainal, Pengerusi Bersama STYLO International.
“Sebagai mercu tanda acara berprestij ini, World Trade Centre Kuala Lumpur berbangga menjadi lokasi rasmi yang menghimpunkan pereka, penggiat industri dan usahawan dari dalam serta luar negara. Saya percaya penganjuran ini akan terus melonjakkan imej Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, malah sebagai hab fesyen serantau yang disegani,” kata Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim.
MFW25 turut dimeriahkan dengan Streetwear Chic Market, persembahan muzik oleh DJ Techwave, serta penampilan istimewa daripada Luca Sickta & Kmy Kmo dan Rayven Raj, Inspire Fashion Poet. Pengunjung juga menikmati aktiviti interaktif termasuk pertandingan OOTD lelaki dan wanita serta fotografi kreatif, dengan hadiah tajaan Park Inn by Radisson, Trinidad Hospitality dan Klana Resort.
Malaysia Fashion Week 2025 menjadi simbol kebanggaan negara yang menampilkan keindahan warisan dan keberanian inovasi yang mengangkat nama Malaysia ke persada fesyen antarabangsa.















COMMENTS ARE CLOSED