Share

Naza Eastern Motors Sdn Bhd baru sahaja melancarkan Suzuki Fronx Hybrid, SUV kompak yang memukau dari segi reka bentuk, prestasi dan keselamatan. Dibina untuk mereka yang mengutamakan keunikan dan keyakinan di atas jalan raya, Fronx menggabungkan stail SUV dengan elegan ala coupe serta mengekalkan penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP.

Dari sudut estetik, Fronx menonjol dengan gril krom, lampu LED pelbagai reflektor dengan DRL, lampu belakang LED horizontal, wheelarch extensions, roof rails, dan skid plates yang menambah aura maskulin dan sofistikasi. Dengan panjang 3,995 mm, lebar 1,765 mm dan tinggi 1,550 mm, SUV ini menampilkan siluet coupe dan garisan bahu yang memukau, ditambah roda aloi 16 inci serta pilihan warna dua tona dan tunggal yang ekspresif.

Ruang kabin Fronx direka untuk keselesaan maksimum, lengkap dengan skrin infotainment HD 9 inci, Apple CarPlay, Android Auto, sistem kamera 360 darjah dan Head-Up Display. Roda stereng balut kulit, pengecasan tanpa wayar dan rekaan tempat duduk kontur tiga dimensi menambahkan keselesaan, manakala tujuh kompartmen dan ruang but 308 liter menjadikan SUV ini sesuai untuk pemanduan bandar mahupun hujung minggu

Dari segi prestasi, enjin 1.5 liter hybrid menghasilkan 103PS dan tork 138 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik 6-kelajuan serta suspensi MacPherson dan torsion beam. Dengan jarak pemanduan melebihi 700 km, Fronx bukan sahaja cekap dari segi bahan api, tetapi juga stabil dan selesa di pelbagai jenis permukaan jalan.

Pelancaran rasmi Fronx turut menyaksikan Suzuki Lifestyle Roadshow di Piazza, Pavilion Bukit Jalil pada 19–23 November 2025. Pengunjung berpeluang merasai pengalaman pemanduan, menikmati promosi eksklusif, serta melihat koleksi aksesori dan kerjasama dengan jenama lifestyle seperti Ducati, GoPro dan Polaroid Eyewear. Fronx bukan sekadar SUV — ia adalah simbol gaya hidup aktif dan moden.