Saya yakin boleh jikalau ada disiplin diri dan usaha serta kegigihan. Tidaklah kurus melidi tetapi cukup sekadar sedap mata memandang dan selesa tubuh badan. Selain menjaga pemakanan sihat dan bersenam, apa salahnya mendapatkan rawatan tambahan untuk hasil lebih berkesan. Ikuti entri pertama, pengalaman saya menjalani rawatan Vanquish dengan misi saya ingin mengurangkan kekurangan pada diri.
Keluarga saya majoritinya bertubuh gempal dan bermasalah di bahagian perut terutamanya. Salah seorang sepupu saya berjaya mengatasi masalah ini tetapi dia langsung tidak menjamah nasi. Itu lah kunci utama dietnya selama ini. Tiga tahun lalu saya pernah melakukan perkara sama, tidak menjamah nasi selama lebih enam bulan.
Disamping itu saya kerap melakukan urutan di spa, ternyata ianya berkesan. Tetapi satu tahap, berat itu statik atau mendatar dan tidak berganjak turun langsung. Bahagian perut paling degil hendak susut. Ada perubahan tetapi belum cukup memuaskan hati. Lama-kelamaan saya mulai leka…
Lama kelamaan saya mulai leka. Saya mula tidak berdisiplin dan kembali memakan nasi dan tidak menjaga pemakanan. Setahun kemudian, berat yang turun sebanyak 10kg kembali pada berat asal semula. Ternyata untuk mendapatkan bentuk tubuh ideal memang memerlukan disiplin tinggi.
Saya boleh makan karbohidrat lain tetapi jangan nasi. Masalah utamanya sekarang, saya pantang bertemu nasi. Cepat sahaja bawah dagu mula mengembang. Dari situ saya dapat mengesan, memang benar tubuh fizikal kita akan mengikut baka atau genatik keluarga tetapi jangan mudah mengalah (seperti saya). Saya ada juga terfikir, adakah masalah ini disebabkan genetik atau budaya pemakanan diamalkan dalam keluarga sehari-hari. Sepupu saya sudah berjaya dan saya sendiri pernah berjaya (cuma tak cukup kuat mengekalkannya dan lebih kepada yoyo diet).
Kevin Zahri juga berpendapat, saya tak boleh salahkan nasi atau genetik. Mungkin saya perlu lebih berdisiplin untuk mengawal nafsu makan dan kerap Celebrity Fitness yang setiap bulan saya bayar tetapi boleh dikira dengan jari ke sana. Kesibukan membataskan waktu untuk ke gimnasium selain ‘sekadar beralasan’.
Bantuan Rawatan Kecantikan
Selain pemakanan dan senaman, saya rasa saya perlukan bantuan lebih lagi terutama bagi mengatasi masalah lemak tepi dibahagian perut. Kini terdapat pelbagai rawatan kecantikan ditawarkan di pasaran. Tepuk dada tanya selera, rawatan sebagaimana yang kamu perlukan. Tanggal 9 Jun 2014 saya dihubungi wakil BTL Aesthetics. Pada awalnya saya kurang berminat dan tidak berkesempatan pula menyahut seruan mereka.
Bukan apa, mahu berkongsi kekurangan diri sememangnya sukar bagi saya. Saya tidak punya kekuatan itu. Setelah ditegur sahabat, badan semakin naik menjadi-jadi dan dia mahu saya kembali pada saat saya berjaya mengurangkan 10kg dahulu, hati mulai resah.
Saat pihak BTL Aesthetics kembali menghubungi saya pada 30 Jun dan sekali lagi menyarankan saya untuk mengalami sendiri kehebatan Vanquish ini saya lantas bersetuju. Dalam hati saya nekad mahu berkongsi kekurangan diri dan bagaimana saya cuba mengatasinya dengan bantuan BTL Aesthetics dan Alainn Clinic.
Apabila ditanya wakil BTL Aesthetics bahagian mana pada tubuh saya paling tidak disenangi. Semestinya saya mahu menyingkirkan lemak tepu pada beberapa bahagian. Dan, pemenangnya adalah bahagian perut saya.
Selama ini pelbagai helah digunakan saya terutama mencari pakaian yang nyata mampu menyorok kekurangan-kekurangan tersebut. Gambar-gambar untuk media sosial juga sudah dipilih yang terbaik. Saat memperkenalkan diri kepada wakil BTL Aesthetics, saya mengambil keputusan mahu jujur dengan diri sendiri.
Lantas gambar-gambar saya e-mel bukan diambil daripada album facebook saya tetapi gambar-gambar yang orang lain ‘tag’ yang kebanyakannya tidak bertapis. Maksudnya, gambar-gambar itu telah saya ‘hide’ daripada ‘timeline’ kerana gambar-gambar kandid yang menonjolkan bahagian-bahagian tubuh yang tidak sempurna.
Konsultasi Pertama
Tidak lama kemudian saya mengatur temu janji pertama dengan Doktor Nurul Ain di Alainn Clinic. Klinik ini terletak di Park Lane Commercial Hub, Kelana Jaya (berdekatan Paradigm Mall). Saya tiba lebih awal daripada dijanjikan. Maklumlah takut sesat dan terlambat pula. Sangat mudah mencari lokasi ini menggunakan bantuan waze.
“Marini!” tegur salah seorang kakitangan di Alainn Clinic yang sudah sedia maklum kehadiran saya.
Menginjak masuk ke klinik ini hati gundah jadi lebih tenang dengan dekorasi indah pada keseluruhan ruang. Saya duduk menantikan konsultasi pertama saya. Analisa tubuh dilakukan terlebih dahulu dan saya ternyata kekurangan air. Mungkin pada akhir Ramadan, jadi rawatan hari ini tidak boleh lebih daripada 45 minit dan hanya bahagian bawah perut sahaja sahaja.
“Istimewanya Vanquish kerana kaedah rawatan ini tidak menyentuh tubuh. Tanpa jarum atau pembedahan untuk menghilangkan bahagian-bahagian yang tertentu yang tidak disenangi. Keputusan dapat dilihat selepas empat rawatan tetapi bergantung kepada individu,” terang Doktor Nurul Ain.
“Sesetengah pusat rawatan mengurangkan berat badan akan menyediakan jadual diet untuk pelanggannya, apakah klinik ini sama menyediakan khidmat sebegitu?”
“Hanya minum air masak sebanyak mungkin. Paling bagus melakukan senaman contohnya seperti yoga sebaik sahaja selepas membuat rawatan Vanquish. Sudah semestinya perlu menjaga makan juga.”
Doktor Nurul Ain menarangkan lebih lanjut mengenai Vanquish tetapi terlebih dahulu saya perlu membuat rawatan Monopolar Frequency yang menggunakan xwave untuk memecahkan lemak dengan gegaran seperti menggerudi lemak di perut.
Saya agak teruja untuk mencuba kaedah Vanquish ini tetapi dalam waktu yang sama bimbang mengecewakan semua pihak. Bagaimana kalau enam sesi ini gagal mengubah penampilan saya kerana kesilapan daripada saya sendiri. Mampukah saya kuat menjaga pemakanan dan mula bersenam semula?
Rawatan kedua saya lakukan pula jatuh sehari sebelum Raya. Dugaan maha besar buat diri saya kerana perlu melawan nafsu makan dengan sajian enak di musim perayaan. Begitupun saya ada merasakan beberapa perubahan selepas rawatan pertama.
Kesan Rawatan Vanquish
Setelah seminggu, saya tidak lagi mampu menangani bufet kerana perubahan jumlah pengambilan makanan yang tubuh saya boleh terima. Kalau dipaksa makan, saya akan jadi gelisah dan mudah untuk memuntahkan semula makanan. Perasaan tidak selesa yang sukar saya gambarkan. Keadaan yang tidak lagi sama seperti dahulu.
Saya pulang dan terdampar seperti tidak mampu melakukan apa-apa sehingga terlena. Saya tidak pernah mengalami keadaan sebegitu kerana hobi saya dan sahabat baik adalah ke bufet menjamu selera. Begitu juga sepanjang berada di kampung halaman seminggu berhari raya. Saya tidak lagi boleh makan banyak juadah di depan mata. Saya akan makan dalam jumlah sedikit tetapi lebih kerap. Maklumlah, bermacam juadah terhidang, selera masih sama cuma kapasiti pengambilan makanan sahaja berkurang.
Saya sekarang masih cuba meminum air masak sebanyak mungkin kerana mengikut nasihat doktor Nurul Ain. Oh, memang saya liat sedikit mahu menikmati air masak ini.Menurut doktor lagi, apabila kandungan air di dalam tubuh sudah seimbang, rawatan Vanquish juga lebih berkesan. Keputusan rawatan pula berpanjangan dan bukan sekadar terhad sesudah rawatan.