Share

Sepi! Pernah kakak sulung aku bertanya, tak sepi ke? Namun jawapan aku mudah, kalau Tuhan tidak beri jodoh, apalah daya kita?

Saya Marini Mat Zain yang masih sendiri di usia 45 tahun pada 2019 ini. Bagaimana mengisi waktu? Benar, saya tiada suami atau anak-anak untuk diuruskan. Saya punya banyak waktu untuk diri sendiri. Jadual saya banyak terisi dengan melancong.

Ketika memaklumkan saya akan melancong ke benua Eropah menjelang Februari. “Berjalan je,” tegur kakak nombor tiga di talian baru-baru ini. Jawapan saya mudah, “Orang single nak buat apa lagi,” dan saya ketawa.

Ya, melancong adalah cara saya mengisi waktu selain membina kerjaya. Habis sekolah saya bertugas di Malaysia Airlines, dijabatan perakaunan. Setahun satu, kami diberi ‘open ticket’ percuma dan boleh memilih destinasi pilihan.

Saya pernah ke Zurich, Switzerland dan tahun berikutnya dari London ke Manchester, England sebelum berhenti kerja. Pengalaman enam tahu di syarikat penerbangan sangat bermakna. Mengambil keputusan berhenti sangat sukar namun saya perlu mengejar kerjaya yang menjadi idaman.

Mak dan arwah ayah sangat rungsing ketika itu dan saya memberi alasan yang nampak kukuh ketika itu. “Kerja di airline tak berjumpa siapa-siapa. Mana tahu jadi wartawan, interbiu orang sana sini boleh bertemu jodoh.” Mereka akhirnya mengalah.

Bermulalah kerjaya saya sebagai wartawan pada usia 28 tahun. Ya, agak lewat kerana saya mengambil waktu empat tahun belajar dan mendapatkan ijazah Mass Comm sebelum keluar daripada Malaysia Airlines. Saya sering berada di belakang tabir namun sesekali berpeluang berada di depan kamera atau video juga.

Kerja sebagai wartawan, penulis dan editor selama 18 tahun juga membawa saya banyak mengembara. Kebanyakannya kerana tugas. Namun, lebih selesa tatkala merancang percutian sendiri kerana keadaan lebih santai. Boleh tentukan apa sahaja kegiatan tanpa terikat dengan penaja.

Keseluruhannya saya pernah bersama 11 syarikat bertugas secara tetap atau kontrak, menulis dan menjadi editor untuk 6 majalah (Impiana, Libur, iRemaja, InTrend, WW dan Lisa). Saat peralihan cetakan kedigital saya menulis blog sendiri dan 3 website (gemfive, Cosmopolitan & Glam).

Saya juga bekerja di belakang tabir produksi pembikin iklan, filem dan drama. Ilmu itu ternyata berguna pada era kini. Malah dapat berkongsi bukan sahaja gambar tetapi video. Teknologi terkini juga membenarkan siapa-siapa sahaja mampu mengedit video sendiri.

Nampak sibuk bukan? Namun bukan kerana itu saya masih solo sebenarnya. Janji tinggal janji dan memang saya bertemu ramai orang namun tidak semudah itu. Kalau jodoh memang liat, mungkin saya akan jadikan itu sebagai topik lain untuk kita bicarakan.

Memang waktu berlalu pantas tanpa kita sedar, daripada galak menginjak usia remaja tiba-tiba kamu sudah masuk 30an dan menjelang 40an, usia 50an sedang memanggil. Namun, bagaimana kamu lalui kehidupan dan sejauh mana perubahan di dalam kehidupan.

Saya sering melihat contoh tokoh-tokoh terhebat yang masih solo dan berjaya di dalam kerjaya masing-masing. Paling saya kagumi adalah Aireen Omar, Deputy Group CEO-Digital & Transformation at AirAsia Group Bhd. yang merupakan graduan daripada Universiti di New York dan juga mahasiswa London School of Economics & Political Science.

Aireen menyertai Air Asia pada Januari 2006, menggantikan Tan Sri Tony Fernandes sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif bagi operasi AirAsia di Malaysia pada 2012 ketika usia lewat 30an dan masih solo. Saya kurang pasti statusnya kini, namun beliau wanita bekerjaya dan sukses paling dikagumi.

Saya sering merungut, separuh hidup kita berada di pejabat. Hampir seharian kita di tempat kerja dan kadang-kadang kerja berlebihan masa. Kita tidak sempat bersosial bertemu lelaki sejati untuk dijadikan pasangan hidup. Namun pandangan saya goyah setelah membaca pendapat Aireen.

“Kita perlu menjadikan tempat kerja sebagai tempat menyeronokkan dan meriangkan.” Saya pula memahaminya sebagai, kita perlu melakukan apa dicintai dan menjadikan ianya pekerjaan yang menyeronokkan untuk mengimbangi kehidupan lebih baik walaupun masih single.

Jika kamu juga masih sendiri, tidak kisah masih solo atau kembali bujang, boleh kongsikan pengalaman dengan saya di sini.