Share

PENULIS: NADYA

Bali bakal menjadi titik pertemuan penggiat seni dari Indonesia dan rantau Asia apabila Art & Bali 2026 kembali dengan edisi keduanya pada September ini.

Berlangsung pada 11 hingga 13 September 2026 di Nuanu Creative City, Bali, pameran seni antarabangsa ini menghimpunkan 22 galeri, muzium, ruang seni, kolektif artis dan studio kreatif dari Indonesia, Singapura, Kuala Lumpur serta platform seni antarabangsa. Dengan tema “Bridging Dichotomies”, Art & Bali 2026 meneroka hubungan antara seni dan komersial, tradisi dan eksperimen, serta karya tempatan dengan pertukaran budaya antarabangsa.

Edisi tahun ini menampilkan barisan peserta daripada pelbagai latar seni, termasuk Agung Rai Museum of Art/ARMA, G13 Gallery Kuala Lumpur, Gurat Institute, Sangkring, Santrian Art Gallery, Superlative Gallery, TONYRAKA dan banyak lagi. Pendekatan boutique yang diketengahkan memberi penekanan kepada kualiti karya, perbincangan yang lebih mendalam serta hubungan antara seniman, galeri, kolektor dan pengunjung. Kehadiran ruang seni bebas dan kolektif seniman turut memperkayakan pengalaman Art & Bali sebagai platform yang meraikan kepelbagaian ekosistem seni serantau.

Pada masa yang sama, Nuanu Creative City akan mempersembahkan pameran tahunan “What the Body Remembers” yang dibuka pada 11 September hingga 29 November 2026 di Labyrinth Art Gallery. Dikendalikan oleh Bandana Tewari sebagai Lead Curator bersama Brina Paska sebagai Assistant Curator, pameran ini menghimpunkan 26 seniman, pereka dan studio dari Indonesia dan India. Berteraskan konsep Hand as Archive dan Routes of Exchange, pameran ini menelusuri bagaimana memori, tradisi dan pengetahuan diwariskan melalui tangan, tekstil, ritual, teknik kriya serta material yang merentasi generasi dan sempadan budaya.

Selain menampilkan karya seni dan program kreatif, Art & Bali 2026 turut membawa fokus terhadap kelestarian dengan menggunakan semula panel HMR daripada edisi 2025 untuk booth pameran tahun ini, sekali gus membantu mengurangkan sisa pembinaan. Dengan menggabungkan seni kontemporari, reka bentuk, kriya, persembahan dan perbincangan awam, Art & Bali terus memperkukuh kedudukan Bali sebagai destinasi seni dan budaya antarabangsa. Art & Bali 2026 berlangsung pada 11–13 September 2026 di Nuanu Creative City, Bali, manakala What the Body Remembers boleh dikunjungi sehingga 29 November 2026.