Share

PENULIS: NADYA

Setiap kali Ramadan menjelma, momen berbuka puasa bukan sekadar tentang makanan, tetapi juga tentang kebersamaan dan kenangan di meja makan. Baru-baru ini, saya berpeluang menghadiri sesi preview Bufet Ramadan Citarasa Malaysia di Hilton Garden Inn, Puchong, dan jujurnya ia membawa saya kembali kepada rasa-rasa klasik yang dekat di hati.

Konsep yang dibawakan sangat jelas – meraikan masakan tempatan tanpa perlu ‘berpusing’ dengan elemen western yang berlebihan. Dari susunan hidangan sehinggalah ke aroma rempah, semuanya terasa hangat dan autentik.

Apa yang paling saya hargai tentang bufet ini ialah pendekatan menunya yang ringkas tetapi fokus. Setiap hidangan disediakan dengan cita rasa yang seimbang, sesuai untuk semua lapisan umur.

Kambing Golek menjadi tumpuan utama dengan tekstur daging yang lembut serta brown sauce yang tidak keterlaluan rasanya. Ayam Rendang Hijau Minang pula hadir dengan rasa yang lebih segar, rempahnya ringan dan santannya tidak memuakkan – sangat sesuai untuk dinikmati selepas seharian berpuasa.

Antara hidangan lain yang wajib diberi perhatian ialah Daging Masak Hitam Sarawak dan Nasi Daging yang kaya dengan rasa tetapi masih ‘easy to eat’. Sup Tulang dan Daging pula menjadi penyelamat buat penggemar hidangan berkuah – supnya jernih, tidak berminyak, dan bila ditambah sambal kicap, terus naik selera.

Jangan lupa singgah ke stesen Murtabak dan Dumpling; murtabak tebal dengan inti penuh rempah serta dumpling yang segar menjadikan gabungan ini antara kegemaran ramai.

Sebagai penutup, bahagian pencuci mulut juga tidak mengecewakan dengan pilihan kek seperti cheesecake dan kek coklat yang terasa premium, ditambah kuih-muih tradisional Melayu untuk melengkapkan pengalaman berbuka. Secara keseluruhan, Bufet Ramadan Citarasa Malaysia di Hilton Garden Inn, Puchong ini sesuai untuk mereka yang ingin berbuka dengan tenang, menikmati masakan lokal yang sedap dan berkualiti.

Jika anda sedang mencari lokasi berbuka puasa bersama keluarga atau rakan-rakan, inilah masanya untuk merancang dan merasai sendiri hidangan wajib cuba seperti Kambing Golek, Ayam Rendang Hijau Minang dan Sup Tulang yang pasti buat anda datang lagi.