PENULIS: NADYA
“Bayangkan satu lokasi dipenuhi tarian tradisional, makanan warisan, seni tempatan dan persembahan budaya dari seluruh Malaysia.”
Itulah pengalaman yang bakal dinikmati pengunjung apabila Citrawarna 2026 kembali berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dari 24 hingga 26 Julai 2026. Dianjurkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026), festival ikonik ini mengangkat tema “The Rhythm. The Soul. The Nation.”, sekali gus meraikan kepelbagaian budaya, tradisi dan warisan yang menjadi identiti negara.
Sebagai antara festival budaya terbesar di Malaysia, Citrawarna 2026 menampilkan empat pengalaman utama iaitu Colours of Parade, Colours of Flavour, Colours of Culture dan Colours of Art. Pengunjung berpeluang menikmati perarakan kebudayaan yang penuh warna-warni, persembahan tradisional daripada pelbagai kaum, hidangan warisan tempatan, hasil kraftangan serta pelbagai aktiviti interaktif yang mengetengahkan keunikan budaya Malaysia.
Antara acara yang paling dinantikan ialah Colours of Parade pada 25 Julai 2026, yang bakal menyaksikan penyertaan kontinjen dari seluruh negara dalam persembahan penuh warna menerusi muzik, tarian dan penceritaan budaya. Selain menjadi platform memperkenalkan warisan negara kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, Citrawarna 2026 juga dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan dengan merancakkan industri hotel, pengusaha pelancongan dan perniagaan tempatan di Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd., serta sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Warisan Kuala Lumpur dan rakan strategik lain, Citrawarna 2026 membuktikan komitmen Malaysia dalam mempromosikan pelancongan berasaskan budaya yang mampan. Orang ramai dijemput hadir ke Dataran Merdeka untuk merasai sendiri kemeriahan festival yang menghimpunkan seni, budaya, warisan dan semangat perpaduan Malaysia dalam satu sambutan yang penuh warna.






COMMENTS ARE CLOSED