Share

PENULIS: NADYA

Citrawarna Speed Festival 2026 membuka lembaran baharu dalam penganjuran festival budaya Malaysia dengan menggabungkan keunikan seni dan warisan tempatan bersama keterujaan dunia automotif dan motorsport.

Berlangsung selama 12 hari dari 23 September hingga 4 Oktober 2026, festival ini membawa pengalaman yang lebih interaktif kepada pengunjung menerusi tiga lokasi utama iaitu IOI City Mall Putrajaya, KLIA Terminal 1 dan Sama-Sama Hotel KLIA.

Selepas kejayaan Citrawarna 2026 di Dataran Merdeka pada Julai lalu, Citrawarna Speed Festival 2026 tampil dengan konsep yang lebih dinamik menerusi empat zon utama di IOI City Mall Putrajaya. Pengunjung boleh meneroka Colours of Speed yang menawarkan pertandingan simulator, mendapatkan maklumat pelancongan dan budaya di Info Booths, menikmati pelbagai aktiviti seni tradisional serta persembahan kebudayaan di Colours of Art & Culture, selain merasai kemeriahan Colours of Parade yang turut menampilkan elemen realiti maya (VR) dan sesi bertemu maskot Wira dan Manja.

Menariknya, kemeriahan Citrawarna Speed Festival 2026 turut dibawa ke KLIA Terminal 1 dan Sama-Sama Hotel KLIA bagi menyambut pelancong serta pengunjung dari dalam dan luar negara. Antara aktiviti yang disediakan termasuk persembahan tarian kebudayaan, pameran automotif, permainan tradisional seperti gasing dan congkak, serta sesi simulator perlumbaan. Para tetamu Sama-Sama Hotel KLIA pula bakal menerima kad kunci bilik edisi khas Citrawarna Speed Festival, menjadikan pengalaman festival lebih unik.

Kemuncak festival bakal berlangsung menerusi Colours of Parade pada 3 Oktober 2026, jam 8.30 malam di IOI City Mall Putrajaya. Acara ini akan menghimpunkan kira-kira 1,500 penari dan penggiat seni budaya dalam sebuah perarakan penuh warna yang menampilkan muzik tradisional, tarian, busana dan pelbagai ekspresi budaya Malaysia. Kemeriahan diteruskan pada 4 Oktober 2026 menerusi acara penutup yang menampilkan Lamborghini Activation dengan penyertaan kira-kira 100 buah kereta super berprestasi tinggi.

Penganjuran Citrawarna Speed Festival 2026 bukan sekadar mengetengahkan seni dan budaya, malah menjadi platform untuk memperkenalkan Malaysia melalui pendekatan yang lebih segar sempena kempen Visit Malaysia 2026-2027. Gabungan budaya, pelancongan, automotif, hospitaliti, peruncitan dan industri kreatif ini dijangka memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung serta membantu merancakkan ekonomi tempatan. Orang ramai dijemput hadir dan merasai sendiri kemeriahan festival seni, budaya dan automotif ini dari 23 September hingga 4 Oktober 2026 di IOI City Mall Putrajaya, KLIA Terminal 1 dan Sama-Sama Hotel KLIA.