PENULIS: FAIZAL YUNUS
Kita pasti ghairah untuk menghias kediaman menjelang tahun baharu atau perayaan. Begitu juga yang baru berpindah atau memiliki kediaman sendiri. Ramai di kalangan kita begitu ghairah memilih warna kegemaran mereka apabila melihat katalog cat. Perlu diingat, memilih cat tidak sama dengan memilih baju atau alat solek. Jadi apakah langkah yang perlu kita pertimbangkan?
“Terdapat beberapa aspek yang perlu anda ambil kira sebelum memilih warna cat. Pada dasarnya, warna dinding berfungsi untuk menjadi latar bagi serlahkan tata hias kediaman. Lantaran itu, ia perlu harmoni dengan koleksi perabot dan aksesori yang ada.”
Kita tidak mahu warna dinding dan perabot serta aksesori bertelagah sesama sendiri dalam merebut perhatian pandangan mata kita. Sebaliknya ia biarlah tampil ideal dan memberi rasa senang pada kita apabila melangkah dalam kediaman. Bukannya menimbulkan keresahan. Jangan panik jika cat anda nampak pucat atau tidak terlalu lantang warnanya.
Ingat, peranan warna dinding adalah sebagai latar pada tata hias ruang. Bukan tumpuan utama sehingga juling mata melihatnya. Anda boleh naikkan seri ruang dengan padanan perabot, aksesori dinding malah kemasan lembut.
CUIT-CUIT – Jangan lupa kita teruskan gossip dekor di minggu depan.




