Perkara paling mahu dihindari dalam sesebuah hubungan adalah infidelity atau kecurangan. Namun bagaimanakah keadaannya jika ia tetap terjadi? Sebuah kisah yang dambakan penyertaan anda… Sudi-sudikan berkongsi pendapat anda mengenainya….
Lingkaran hidup penuh kisah tidak terduga. Ada hubungan berantakan, ada juga bahagianya berpanjangan. Sebagai seorang setia, pastinya kecurangan oleh pasangan hidup atau kekasih sangat melukakan. Kecewa tidak terkira, kalau boleh mahu hilangkan diri daripada dunia. Tetapi bagi kamu jika dipihak yang melakukan kecurangan, dirasakan hadirnya perasaan kasih sayang kepada insan baru bukan kemahuan diri. Keadaan yang sukar diungkapkan kerana ia hadir dengan sendirinya. Kononnya!
Aril dan Melissa ialah sepasang kekasih yang telah mengikat tali pertunangan setahun lalu. Mereka bagai tidak boleh dipisahkan lagi. Seluruh keluarga dan sahabat taulan menganggap mereka paling ideal, romantis dan tidak boleh dipisahkan lagi. Segala-galanya berjalan lancar sehinggalah Melissa memperkenalkan teman lamanya Zalea kepada Aril. Sejak hari itu, kedua-duanya tertarik di antara satu sama lain. Tanpa pengetahuan Melissa, Aril sering mencuri peluang bertemu Zalea. Manakala Zalea sendiri hanya mengikut rentak lelaki kacak itu.
Bukan dia buta dengan keakraban tunangannya dengan teman baiknya. Bagi Melissa yang mengetahui latar-belakang Zalea pula hanya membiarkan keadaan itu. Dia sekadar berbaik sangka. Zalea hanya memerlukan perhatian kerana kehancuran keluarganya. Takkan dia sanggup berlaku curang dengan sahabat baiknya sendiri. Sedangkan perkataan itu adalah satu kepantangan dalam hidupnya. Ibunya diceraikan kerana dihukum berlaku curang. Setidak-tidaknya si ayah mempercayai keadaan itu berlaku. Malah Zalea tidak pernah diakui anaknya. Bagi si ayah, Zalea adalah anak hasil hubungan si isteri dengan lelaki lain. Dia meninggalkan Zalea ketika dia masih bayi dan membawa anak lelaki sulungnya sahaja. Sehingga kini jejak si ayah dan abang tinggal bayang untuk dikejar. Biarpun telah berpuluh tahun berlalu, Zalea kekal tidak diakui anak gadisnya.
Melissa dipuja lelaki, Hidup Zalea Kosong
Itu sekadar anggapan Melissa. Sebaliknya, kecurangan si ibu hanyalah secebis alasan sahaja. Ternyata ibunya tidak pernah curang dan menjadi mangsa keadaan. Memang benar dia pantang mendengar perkataan curang itu. Apa pula keadaan dia dan Aril yang dipandang orang sekeliling sebuah kecurangan? Benar, dia berasa diri sangat istimewa setiap kali di sisi lelaki itu. Kekurangan diri berbanding Melissa membuatkan Zalea merasakan dirinya sering ketinggalan. Manakan tidak, Melissa sering menjadi perhatian lelaki. Dia hanya jatuh nombor dua atau tidak tersenarai langsung. Zalea selama ini kurang kasih sayang lelaki dalam hidup, pastinya sangat menghargai kehadiran Aril. Hanya kerana itukah atau tersimpan maksud lain? Tidak! Zalea tahu batas-batasnya ketika bersama Aril. Dia sedar dia terbawa-bawa dengan kekosongan hidup yang mula dirasakan terisi.
Melissa pula terlalu naif dan baik dalam mempertimbangkan sifat orang sekelilingnya. Apabila Aril kelihatan berdampingan dengan gadis lain, sahabatnya sendiri, ahli keluarga dan teman terdekat sangat bersimpati dengannya. Kebaikannya itu sangat dikagumi. Zalea punya alasan mengapa dia perlu mendampingi Aril. Melissa pula ada persepsinya sendiri terhadap Zalea dan kebaikannya memang tidak boleh dipertikaikan. Aril pula memang dia lelaki dan kerana itu sifatnya begitu. Tidak perlu ada alasan mengapa lelaki curang atau memandang wanita lain. Sememangnya itulah dia lelaki.
Benarkah Aril yang Curang?
Nanti dulu! Bersikap adil terhadap lelaki juga perlu. Menuduh melulu mereka sifatnya begitu, pasti ada yang marah. Dalam keadaan ini, Aril punya alasan tersendiri mengapa dia begitu tertawan dengan eksotiknya Zalea. Dia tertanya-tanya mengapa lelaki tidak memandang wanita beraut wajah seperti Zalea sangat cantik. Nampaknya dia salah seorang daripada mereka yang hanya memandang kecantikan seperti dimiliki Melissa paling ideal di pandangan mata. Selepas mengenali Zalea, dia jatuh simpati pula dengan latar belakang kehidupannya. Bagaimanakah agaknya jika tiba harinya Zalea mahu bernikah? Dia ada dua wali yang kuat tetapi mereka pula menafikan dia darah daging mereka? Dunia ini kadangkala tidak berlaku adil. Allah berikan akal tetapi disalahgunakan atau tidak mempertimbangkannya dengan sewajarnya.
Setelah itu Zalea juga menyedari Aril merapatinya kerana simpati. Mula-mula ada kenakalan, tarikan di antara lelaki dan perempuan. Begitu pun dia menyedari akan hubungan Aril dan Melissa tidak boleh dipisahkan. Zalea sendiri sering akur dengan kejelitaan Melissa dan dia akan kalah beribu-ribu kali. Hendak dibandingkan mereka berdua bagaikan langit dan bumi. Lalu Zalea kembali jadi penunggu sepi yang mengharapkan lelaki sebaik Aril muncul jadi penyelamatnya. Pastinya diri Aril yang telah menjadi milik Melissa takkan disentuh. Malah, kasih sayang Aril bagaikan kehadiran kasih si abang yang dipisahkan daripadanya.
Aril Tak Bermaksud untuk Curang , Tapi…
Aidil, adik kepada Aril yang menyaksikan abangnya semakin intim dengan Zalea naik berang. Dia pula asalnya sahabat baik Melissa. Kerana memperkenalkan Melissa kepada keluarga, Aril telah jatuh hati kepada sahabatnya itu. Pasti sahaja dia benci melihat Melissa diperlakukan begitu. Zalea terang-terangan menjemput Aril keluar dari kediaman mereka. Aril pula menunjukkan kasihnya depan-depan mukanya. Sehinggalah berlaku pertelagahan antara Aidil dan Aril. Sudahnya Aril mula mengesyaki Aidil sebenarnya menaruh hati kepada Melissa. Hm… Memang rumit keadaan ini..
Jadi, siapakah perlu dipersalahkan? Atau tiada siapa yang bersalah tetapi keadaan itu hanyalah kebetulan dan telah disuratkan terjadi? Masing-masing punya alasan kukuh. Hati kita pastinya ada rasa kasihan kepada Melissa, benci dengan Zalea dan menyalahkan Aril seperti Aidil. Ada pula yang kasihankan Zalea dan menyanjung Aril kerana pemikiran positifnya itu.
Tetapi lazimnya memang Melissalah heroin di sini. Dan ada pula yang mahu Melissa berdampingan dengan Aidil saja. Lupakan Aril yang semudah itu terjatuh hati dengan gadis lain hakikatnya Melissa lebih cantik dan menawan. Orang paling marah dalam soal ini tentunya mereka yang pernah dicurangi. Tidak pun kita satukan saja Zalea dan Aidil. Sebetulnya subjek ini sukar dicari siapa salah dan siapa yang benar.
Pada pendapat kamu, adakah benar Aril yang curang terhadap Melissa? Apakah Zalea sebenarnya mengambil kesempatan atas simpati orang lain? Adakah pula Melissa yang tolol membenarkan kecurangan berlaku di depan matanya? Pada pendapat kamu, siapa sebenarnya yang bersalah?
Siapa yang paling terluka?