Agro World Channel Sdn Bhd yang berasaskan agro pertanian mensasarkan lebih 100 tan dengan nilaian lebih kurang RM6 juta sebulan hasil ternakan kambing di negara ini bakal di eksport ke luar negara terutama ke China mulai tahun hadapan.
Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Seri Abd Majid Zainal Abidin berkata, jumlah tersebut untuk nilai daging sahaja belum termasuk tulang, daging bahu dan bahagian dada kerana kambing dikategorikan kepada bahagian tertentu sebelum dipasarkan.
“Kambing mendapat permintaan yang baik dari negara luar seperti China malah telah menempah sebanyak 50 tan atau RM3 juta tahun hadapan malah boleh mencapai sehingga ke 500 tan, namun buat masa ini kita berhadapan dengan masalah menyediakan hasil ternakan tersebut.
“Buat masa ini seluas 100 ekar tanah di Pekan, Pahang diusahakan di samping 50 ekar di Bagan Datuh, Perak akan dijadikan pusat penyembelihan dan pembungkusan bagi pasaran tempatan dan luar negara,” katanya pada majlis pelancaran rasmi kambing sejuk beku (Frozen Lamb) danperjanjian persefahaman antara Agro Word Channel Sdn Bhd dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Raub, Pahang di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Konsortium Koperasi Wanita, Dato’ Seri Dr. Hajah Siti Zaharah Sulaiman , Pengarah Eksekutif Agro World Channel Sdn Bhd, Datin Seri Siti Nur Cahaya Ramlan dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Raub, Zulkifli Mohd Yusuf dan Chef Eksekutifnya, Mohd Shafik Mohd Taufik.
Abd Majid berkata, syarikatnya kini mencari lebih banyak tanah untuk dimajukan sebagai kawasan penternakan di seluruh negara.
“Kita mesti merebut peluang tersebut kerana permintaan memang sangat menggalakkan. Justeru kami mengambil pendekatan berkerjasama dengan pertubuhan peladang kawasan dan penternak persendirian.
“Kaedah penternakan moden digunakan dengan membina rumah sembelihan dan kilang pemprosesan daging berteknologi tinggi berhampiran ladang untuk mengekalkan kualiti dan kesegarannya .
“Penternak akan diberi bantuan membaik pulih dan menaik taraf kawasan penternakan di samping bantuan baka. Hasil ternakan akan dibeli semula oleh Agro World Channel Sdn Bhd untuk penyelesaian masalah pasaran.” katanya.
Majlis pelancaran frozen lamb itu katanya, bertujuan mempopularkan lagi daging kambing segar selepas menjalani proses sejuk beku denganmenggunakan teknik vakum dan orang ramai boleh memperolehinya di Bazar Agro seluruh negara.
Buat masa ini Agro World Channel Sdn Bhd menjalankan aktiviti perladangan buah naga di Ulu Tiram , Johor Bahru seluas 2000 ekar dan mensasarkan penanaman 10 ribu ekar pada tahun 2022 dengan nilai jualan sebanyak RM150 juta sebulan.
“Sejak tiga tahun lalu, hasil dalam bentuk minuman kesihatan di eksport ke Taiwan. Pada tahun hadapan, syarikat akan menaik taraf kilang di Kulim High-Tech Park untuk mengeluarkan hasil buah naga dalam bentuk kapsul sebagai makanan tambahan dan bahan asas kosmetik. Syarikat menjalankan penyelidikan bersama dengan Universiti Sains Malaysia (USM),” ujarnya.
“Di samping itu, ternakan sangkar lobster dan kerapu sedang giat dibesarkan seluas 50 ekar di Pulau Timun dan sedang beroperasi sebanyak 200 sangkar di Penarah, Langkawi.
Sebanyak 300 ekar tanah di Rompin, Pahang pula ternakan udang harimau, udang kertas dan udang Kara. Hasilnya ternakan dalam sangkar tersebut dieksport ke Hong Kong dan Taiwan.
Abd Majid menambah dengan kerjasama Pertubuhan Peladang egeri Pahang, MARDI dan MATRADE syarikat bakal melebarkan pasaran ke luar negara seperti Timur Tengah, Korea, Eropah dan Jepun untuk memenuhi pasaran halal di sana, Pihaknya juga telah memeterai kerjasama dengan Halal Hub di negara China bagi memenuhi permintaan yang tinggi .
“Sokongan pelbagai agensi kerajaan dan swasta berkaitan dalam pelbagai bentuk sangat diperlukan kerana syarikat mempunyai kumpulan doktor vaterinar, kumpulan pekerja yang berpengalaman,dan juga kumpulan pelabur dari dalam luar negara seperti Taiwan, Hong Kong , China dan Singapura dalam usaha meningkatkan negara Malaysia sebagai pembekal makanan halal antara yang terbaik di dunia,” ujarnya.