Share

PENULIS: NADYA

KUALA LUMPUR bakal menjadi tumpuan peminat seni dan teknologi kreatif menerusi IMMERSIO 2026: PASAR, edisi ketujuh festival seni media baharu anjuran Filamen.

 

Berlangsung dari 11 hingga 27 September 2026, festival ini menghimpunkan kira-kira 100 seniman dan penggiat teknologi kreatif dari seluruh Asia, dengan lebih 70 karya seni merangkumi instalasi digital, karya interaktif, projek visual dan arca. Festival ini akan berlangsung di beberapa lokasi utama sekitar Kuala Lumpur termasuk GMBB, Muzium Telekom, Ombak KLCC dan REXKL.

Mengangkat tema “PASAR”, IMMERSIO 2026 melihat pasar bukan sekadar sebagai tempat jual beli, tetapi sebagai ruang yang penuh dengan kenangan, budaya, interaksi sosial dan kehidupan seharian masyarakat Asia Tenggara. Suasana pasar yang sinonim dengan tawar-menawar, papan tanda tulisan tangan, bunyi peniaga, makanan, objek harian serta pertemuan antara pelbagai lapisan masyarakat diterjemahkan oleh para seniman melalui perspektif yang berbeza. Antara karya yang diketengahkan ialah Sekarat oleh Rimbawan Gerilya dari Indonesia, WTFish Wonderland ’87 oleh Arron Teo dari Singapura dan RELA – The Gatekeeper of Pasar oleh Lain Main Lab dari Malaysia.

Bagi pengunjung yang ingin meneroka pameran utama, GMBB Aras 5 menjadi lokasi utama IMMERSIO 2026 dengan lebih 45 karya seni daripada seniman dan kolektif mapan serta baharu. Pengunjung juga berpeluang melihat bagaimana perkara yang dekat dengan kehidupan seharian diterjemahkan menjadi karya seni media baharu. Antaranya Ikat Tepi oleh Aresha Reza yang mengambil inspirasi daripada cara kita mengikat beg kopi atau teh, serta When We Touch the Floor oleh Lee Mok Yee yang mengetengahkan tikar getah sebagai sebahagian daripada pengalaman kehidupan masyarakat.

Menariknya, pengalaman IMMERSIO 2026: PASAR tidak terhad kepada GMBB sahaja. Di Muzium Telekom, pelajar daripada Universiti Multimedia (MMU), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan The One Academy turut mengetengahkan karya seni media baharu menerusi program iNYALA dan DTI. Sementara itu, Ombak KLCC menampilkan karya Saya Seekor Dinosaur oleh Eugene Foo sehingga 30 Oktober 2026, yang mengajak pengunjung membayangkan dunia Nusantara di mana manusia dan dinosaur hidup bersama. Pada 25 hingga 27 September 2026, REXKL pula akan membawa suasana PASAR lebih dekat dengan pengunjung melalui karya seni asli, cetakan, zine, objek eksperimental, karya media baharu, sesi perkongsian artis serta persembahan seni audio-visual.

Untuk yang merancang berkunjung, pameran utama di GMBB berlangsung dari 11 hingga 27 September 2026, jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam dan ditutup pada hari Isnin. Tiket umum ialah RM15, tiket berkumpulan lima orang RM55, manakala tiket kemasukan berulang bersama hadiah eksklusif berharga RM65. Warga emas, OKU dan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun pula mendapat kemasukan percuma. Di Muzium Telekom, pameran berlangsung pada tarikh yang sama dari 11.00 pagi hingga 5.00 petang dengan kemasukan percuma. Bagi REXKL pula, pameran dan sesi perkongsian artis adalah percuma, manakala persembahan seni audio-visual dikenakan bayaran RM60 sehari.


IMMERSIO 2026: PASAR bukan sekadar sebuah festival seni, tetapi peluang untuk melihat semula perkara-perkara biasa di sekeliling kita daripada sudut yang berbeza. Daripada pasar basah, makanan, plastik, tikar getah hinggalah teknologi digital dan budaya popular, setiap karya membawa cerita tersendiri tentang bagaimana manusia berinteraksi dengan ruang dan persekitaran mereka. Jika anda mencari aktiviti seni dan budaya yang unik di Kuala Lumpur pada September ini, IMMERSIO 2026: PASAR wajar dimasukkan dalam senarai untuk diterokai.

Nota penting: Untuk pembelian tiket GMBB, bahan event menyatakan tiket boleh dibeli melalui CloudJoi. Maklumat terkini mengenai program pula boleh diikuti melalui Instagram dan Facebook @wearefilamen.