PENULIS: MAXEVAN
Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (“PPZ-MAIWP”) telah mengadakan Majlis Pelancaran Kempen Zakat Emas dengan kerjasama strategik bersama syarikat barangan kemas tempatan HABIB pada 29 OGOS 2022 di HABIB II Ampang Point.
Kerjasama ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan tentang kepentingan berzakat melalui pendekatan holistik dalam hebahan zakat di kalangan masyarakat Islam. Oleh itu, bagi memastikan kerjasama yang berterusan, beberapa program dan kempen akan dilaksanakan antaranya:
- Kempen Zakat Emas diwujudkan untuk meningkatkan kesedaran para pelanggan HABIB akan kepentingan menunaikan zakat emas. HABIB merupakan syarikat barangan kemas pertama yang dipilih oleh PPZ-MAIWP bagi menjayakan kempen ini. Mengangkat tema ‘Permata Firdausi’, kempen ini menawarkan pelbagai hadiah istimewa berupa baucar tunai HABIB bernilai sehingga RM10,000 dan 10 syiling wafer emas edisi terhad HABIB untuk pembayar bertuah yang menunaikan zakat emas di PPZ-MAIWP bermula 1 hingga 30 September 2022. Sepanjang kempen berlangsung PPZ-MAIWP akan turut mempromosikan barangan kemas jenama HABIB di kalangan pembayar PPZ-MAIWP.
- Beberapa siri Program Bual Bicara Santaibersama para pelanggan HABIB dan pembayar zakat PPZ-MAIWP turut diadakan bagi sesi perkongsian ilmu mengenai topik-topik yang menarik. Sebagai nilai tambah perkhidmatan, PPZ-MAIWP turut menyediakan konsultasi secara personal kepada para pelanggan HABIB dalam taksiran dan bayaran zakat, pakej wakalah, agihan zakat dan pada masa yang sama pembayar PPZ-MAIWP turut didedahkan dengan promosi semasa barangan kemas HABIB.
- PPZ-MAIWPturut menawarkan Skim Kafalah Muzakki (Khairat Kematian) kepada pelanggan HABIB yang menunaikan zakat di PPZ-MAIWP. Sekiranya berlaku kematian kepada pembayar, waris boleh menuntut wang khairat kematian sehingga RM3,000.
- Pihak PPZ-MAIWP dan HABIB juga akan saling berkongsi maklumat, pengetahuan dan kepakaran dalam mewujudkan serta menjalankan tanggungjawab sosial ke arah mendidik masyarakat Islam tentang kepentingan menunaikan zakat.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman berkata, Kempen Zakat Emas ini merupakan antara inisiatif kolaborasi smart partnership antara PPZ-MAIWP dan HABIB yang diilhamkan daripada trend peningkatan kesedaran dan kepekaan masyarakat untuk membeli, melabur dan menyimpan emas bagi mengukuhkan kewangan mereka yang kini tidak hanya terhad kepada wanita, malah golongan lelaki juga.”
“PPZ-MAIWP memilih HABIB sebagai rakan sinergi kerana yakin dengan jenama dan kredibilitinya sebagai salah satu syarikat barangan kemas lokal di Malaysia. Malahan HABIB juga merupakan syarikat barangan kemas pertama yang menjalinkan kerjasama strategik seumpama ini bersama PPZ-MAIWP.”
“Di samping dapat meningkatkan kesedaran menunaikan zakat emas dalam kalangan masyarakat Islam, kerjasama ini juga dilihat sebagai satu titik permulaan kepada syarikat-syarikat pengeluar barangan kemas di luar sana untuk turut sama dalam menyebarluaskan dakwah zakat emas di kalangan pelanggan dalam masa yang sama, dapat meningkatkan reputasi dan imej syarikat,” katanya.
Pengurus Besar Kanan Jualan dan Pemasaran HABIB, Encik Zaruddin Mahmud berkata, permintaan terhadap barangan yang berasaskan emas terutamanya dalam bentuk jongkong dan barangan kemas kian meningkat. Ianya telah menjadi tanggungjawab pihak kami untuk mewarwarkan kepada umat Islam tentang kewajipan berzakat ke atas barangan kemas dan memberi ilmu pengetahuan mengenai pembayaran zakat emas. Di samping juga memberi kemudahan kepada para pelanggan untuk membuat pembayaran zakat emas.
“Kerjasama antara dua organisasi ini diharap dapat mengubah persepsi para pelanggan terhadap kewajiban membayar zakat emas di mana pembayaran zakat emas ini bukanlah sesuatu perkara yang rumit, malah prosesnya juga sangat mudah jika kita mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih mendalam,” katanya.
Anda boleh kunjungi ke bilik pameran HABIB yang berhampiran untuk mendapatkan perkhidmatan penilaian zakat emas secara percuma! Selain itu, perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti Skim Wakalah dan konsultasi berkenaan pembayaran zakat secara personal juga turut disediakan.
Majlis dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman, Pengarah Eksekutif Kumpulan Habib Datin Sri Zarida Noordin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP Encik Mohammed Hassan dan Pengurus Besar Kanan Jualan & Pemasaran HABIB, Encik Zaruddin Mahmud.