Seandainya kamu tidak merancang bercuti jauh dari kota. Kamu sekadar mahu bermalas-malas di pusat peranginan tanpa mahu bersesak-sesak di dalam kesesakan lalu lintas. Saya sarankan kamu ke homestay di Bangsar.
Memang menakjubkan kerana di celah kediaman Lorong Tenggiri, Bangsar, terdapat rumah penginapan Sekeping Tenggiri. Biarpun masih di dalam kota tetapi sebaik kaki melangkah masuk, perasaan sekelip mata bertukar seolah-olah kamu berada di sebuah pusat peranginan indah.
“Duduk-duduk di ruang istirehat sendirian pasti ilham kan datang. Suasana agak sepi kerana penghuni saling hormat-menghormati,”
Sekiranya kamu mencari ilham penulisan, tidak salah lagi memilih Sekeping Tenggiri sebagai penginapan beberapa malam. Terdapat banyak ruang buat kamu memanggil ilham datang. Rutin harian kadang-kadang membuatkan kita tidak terkejar dengan semua. Jika lelah berehat seketika di kolam renang sambil menikmati minuman panas.
Kamu seolah-olah berada di kediaman sendiri apabila ruang dapur terbuka disediakan. Kamu boleh membancuh air kesukaan sendiri bila-bila masa. Tingkat bawah meletakkan empat kamar dengan pemandangan taman dan kolam renang. Tiga kamar lagi di tingkat atas dengan pemandangan langit dan dinding gelas. Semalaman itu saya menetap di kamar bersilingkan pemandangan langit.
Harga kamar di antara RM200, RM250 dan RM300 dilengkapi kemudahan wifi, TV dan pemain DVD (Astro hanya terdapat di raung istirehat). Dapur lengkap dengan ketuhar dan peti sejuk. Orang tua kata, buatlah macam rumah sendiri. Bahan bacaan juga disediakan. Dua ekor anjing Pulau dan Ketam akan menjaga keselamatan kediaman. Perkhidmatan juga disediakan 24 jam buat kemudahan pengunjung.
Selain Sekeping Tenggiri di Bangsar, kamu juga boleh membuat tempahan di beberapa cawangan lain di beberapa lagi lokasi seperti Sekeping Serendah (Serendah), Sekeping Seapark (Petaling Jaya), Sekeping Terasek (Bangsar), Sekeping Kong Heng (Ipoh) dan Sekeping Victoria (Pulau Pinang).
Jangan lupa sediakan persalinan tambahan di bonet kenderaan. Kadang-kadang kamu tidak tahu rancangan kamu pada hujung minggu. Mungkin bermula dengan hanya makan tengah hari dan melepak. Tetapi kadang-kadang kamu mungkin memerlukan getaway biarpun semalaman.










