PENULIS: NADYA
Kegembiraan Aidilfitri dirasai lebih bermakna apabila disulami dengan keprihatinan—itulah yang dibawa oleh World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) menerusi program Infaq Kasih 3.0.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dilaksanakan dengan kerjasama ikhlas.com dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyantuni warga emas di Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras, khususnya menjelang musim perayaan.
Melalui program ini, pelbagai sumbangan telah disalurkan termasuk televisyen, peti sejuk, mesin basuh, set kerusi, permainan serta barangan keperluan asas dan makanan. Sumbangan ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan harian, tetapi juga menceriakan suasana dan meningkatkan kualiti hidup para penghuni.
Selain bantuan fizikal, program ini turut menitikberatkan interaksi bersama warga emas bagi menyemai nilai kasih sayang, empati dan keprihatinan dalam kalangan komuniti korporat. WTCKL turut menegaskan komitmen berterusan mereka dalam memastikan golongan rentan tidak terpinggir, terutamanya ketika sambutan perayaan yang sinonim dengan kebersamaan.
Kerjasama bersama ikhlas.com, yang menyalurkan sumbangan hasil kempen Seikhlas Ramadan, turut memperluaskan impak bantuan kepada golongan memerlukan seperti anak yatim, ibu tunggal dan OKU. Secara keseluruhannya, Infaq Kasih mencerminkan usaha berterusan WTCKL dalam membina masyarakat yang lebih inklusif, penyayang dan sejahtera melalui inisiatif kebajikan yang konsisten.









COMMENTS ARE CLOSED