Rashid Hamid berkongsi pengalamannya menonton Les Miserables di pentas teater London suatu ketika dahulu. Betapa teater ini telah menyentuh hatinya. Kesempatan menonton prebiu filem baru-baru ini sememangnya dinanti-nantikan.
Kali pertama saya menonton pementasan muzikal “Les Miserables” adalah di Palace Theatre, London pada 2001. Pementasan muzikal selama hampir tiga jam ini merupakan satu hasil karya seni yang amat sempurna, lantas membuat saya jatuh hati dengannya.
Pementasan ini telah menjadi salah satu persembahan muzikal kegemaran saya. Gabungan set, muzik, nyanyian, lakonan, kostum dan jalan cerita yang diterjemahkan dari novel penyair Perancis Victor Hugo telah disajikan sempurna. Les Misérables juga dikenali sebagai Les Mis atau Les Miz.
Gubahan muzik indah Alain Boubil dan Claude Michel Schönberg dengan libreto bahasa Inggeris oleh Herbert Kretzmer. Kisahnya bermula di Perancis pada abad ke-19, Jean Valjean (Hugh Jackman), dipenjarakan kerana mencuri roti, telah melanggar parolnya dan diburu oleh Inspektor Javert (Russell Crowe).
Selepas dua dekad melarikan diri, Valjean bertemu semula Javert pada 1832, ketika Revolusi Perancis di Paris.
Gabungan mantap pelakon hebat seperti Hugh Jackman, Russell Crowe, Anne Hathaway (Fantine), Amanda Seyfried (Cossete), Eddie Redmayne (Marius), Helena Bonham Carter (Madame Thanedier) dan Sacha Baron Cohen (Mons Thanadier) menjadi sebutan pengemar filem tahun ini. Pilihan ideal sebagai filem terbaik tahun ini.
Sementelah, filem ini telah dicalonkan bagi anugerah Golden Globe kategori pelakon pembantu wanita (Anne Hathaway), pelakon lelaki (Hugh Jackman) dan filem terbaik. Filem ini telah berjaya menterjemahkan karya dari pentas dan kini ke filem yang lebih realistik setiap details dari segi kostum, solekan dan set hebat. Ekspresi pelakon dengan jayanya dirakam oleh pengarah Tom Hooper.
Apa yang menarik, ini merupakan kali pertama dalam sejarah sebuah pembikinan filem muzikal apabila pelakon dikehendaki menyanyi secara langsung di lokasi. Filem yang ditayangkan pada 25 Disember 2012 ini merupakan satu hasil karya filem tercantik dan hasil karya seni paling sempurna buat saya. – Rashid Hamid, Penata Gaya.
Russell Crowe membawa watak inspektor Javert dengan jayanya tetapi kekurangan hanya pada nyanyiannya.
Elegan: Jean Valjean menyedari kehidupannya perlu anjakan positif setelah dirinya dibantu seorang rabai. Sejak itu dia berubah menjadi tokoh paling dikagumi setelah dia meminjam sifat rabai tadi—Menjadi seorang pemurah dan adil saksama. Begitupun sebagai manusia biasa, Valjean terlepas pandang pada kes Fantine yang dianianya sehingga dibuang kerja dan menjadi seorang pelacur. Pada ketika itu wanita memiliki anak luar nikah dipandang hina masyarakat.
Selepas kematian Fantine, Valjean nekad menjaga anak Fantine, Cossete dan hidup dalam pelarian. Sifat baik hatinya terhadap Javert meruntuh keegoan inspektor Javert. Percayalah, sifat pemaaf setiap insan mampu memalingkan kebencian seseorang.
Kebangkitan revolusi pemuda-pemuda Perancis sepuluh tahun kemudian ditonjolkan.Disebalik perjuangan menentang pemerintah, diselit kisah cinta Marius dan Cossete. Ketika cinta mereka membara, ada hati terluka dan Eponine sanggup berkorban nyawa demi Marius.
Manakala keletah Helena Bonham Carter (Madame Thanedier) dan Sacha Baron Cohen (Mons Thanadier) paling lucu meredakan ketegangan kala menonton setiap babak lain. Filem ini ditayangkan pada musim perayaan Krismas, 25 Disember. Filem ini wajib ditonton terutama bagi kamu yang gemar filem muzikal.





