PENULIS: NADYA
KUALA LUMPUR, 10 NOVEMBER 2026 – Drama romantik fantasi Korea, The Remarried Empress, mencipta kejayaan luar biasa apabila dinobatkan sebagai tayangan perdana siri original tempatan paling banyak ditonton sepanjang zaman di Disney+ secara global. Berdasarkan jumlah tontonan dalam tempoh tiga hari selepas pelancarannya pada 3 November 2026, siri ini turut menduduki tangga pertama sebagai tayangan perdana judul Korea di lebih 50 pasaran antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Jerman, Mexico, Chile, Australia, New Zealand dan Kanada.
Kejayaan ini membuktikan fenomena global yang dicetuskan oleh siri berkenaan, apatah lagi apabila ia mendapat perhatian meluas daripada peminat drama Korea di seluruh dunia. Sebelum tayangan rasmi, The Remarried Empress sudah mencuri tumpuan menerusi tayangan pratonton yang habis terjual di Busan International Film Festival, selain treler utamanya meraih 13 juta tontonan dalam tempoh 48 jam pertama. Webtoon asal yang menjadi inspirasi siri ini juga mencatatkan hampir 3 bilion tontonan sejak mula diterbitkan. Menariknya, siri ini turut membuat kemunculan sehari lebih awal di Disney+ pada 3 November sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan luar biasa para peminat.
Diadaptasi daripada webtoon popular NAVER WEBTOON dengan judul yang sama, The Remarried Empress mengisahkan kehidupan Maharani Navier yang berdepan keretakan rumah tangga bersama suaminya, Maharaja Sovieshu dari Empayar Timur. Konflik bermula apabila Sovieshu jatuh cinta dengan seorang hamba yang melarikan diri bernama Rashta, sekali gus menggugat kedudukan dan hubungan mereka. Enggan mengorbankan maruah diri, Navier bersetuju dengan permintaan maharaja untuk bercerai dengan satu syarat, iaitu dia dibenarkan berkahwin semula dengan Putera Mahkota Heinrey dari Kerajaan Barat. Kisah penuh cinta, pengkhianatan, penyesalan dan perebutan kuasa ini membawa penonton menyelami perjalanan Navier dalam mendapatkan semula kekuatan serta kedudukannya.
Dibintangi oleh Shin Mina sebagai Maharani Navier, Ju Jihoon sebagai Maharaja Sovieshu, Lee Jongsuk sebagai Putera Mahkota Heinrey dan Lee Seyoung sebagai Rashta, siri ini turut menampilkan adaptasi skrip oleh Yeoh Geena dan Hyun Choongyeol serta arahan Cho Suwon. Sebanyak empat episod telah tersedia untuk distrim di Disney+, manakala dua episod baharu akan dilancarkan setiap hari Rabu bermula 11 November hingga episod akhir pada 25 November 2026. Buat peminat drama Korea yang menggemari kisah romantik berlatarbelakangkan dunia diraja, fantasi dan konflik penuh emosi, The Remarried Empress pastinya antara siri yang wajib dimasukkan dalam senarai tontonan!


