PENULIS: MARINI MAT ZA
Gaya klasik yang tidak pernah lapuk sentiasa mempunyai tempat tersendiri dalam dunia fesyen. Apatah lagi apabila sentuhan warisan jenama ikonik seperti Polo Ralph Lauren digayakan dengan penuh santai, tetapi tetap menyerlahkan karakter tersendiri.
Pelakon Malaysia, Mimi Lana, tampil dalam gaya Polo Ralph Lauren ketika dalam perjalanan ke Tokyo, Jepun, bagi menghadiri PoloFest, sebuah acara selama tiga hari yang meraikan hubungan erat Polo dengan dunia gaya, budaya dan komuniti.
Berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di Jing Harajuku, PoloFest menghimpunkan pengumpul koleksi vintaj Polo, peminat jenama serta penggiat budaya menerusi pameran arkib terpilih, sesi perkongsian bersama tokoh jemputan dan pasar vintaj.
Untuk penampilan tersebut, Mimi Lana menggayakan Cable Cashmere Sheepskin Half Zip Sweater yang dipadankan dengan Loose Fit Plaid Cotton Shirt dan Beaton Jean Pants. Penampilannya dilengkapkan dengan Ralph Logo Twill Baseball Cap serta Polo Blaze Large Shoulder Bag, menghasilkan gaya kasual yang cukup versatil dengan identiti klasik Polo Ralph Lauren.
Selama beberapa dekad, Polo Ralph Lauren terus membina identiti tersendiri dengan menggabungkan elemen klasik Amerika, gaya hidup dan pengaruh budaya. PoloFest menjadi satu lagi manifestasi bagaimana warisan tersebut terus diraikan serta diberi nafas baharu oleh generasi masa kini.
Kehadiran Mimi Lana di Tokyo turut memperlihatkan bagaimana gaya klasik Polo Ralph Lauren kekal relevan merentasi sempadan dan generasi. Kerana dalam dunia fesyen, gaya yang benar-benar ikonik bukan sekadar tentang apa yang dipakai, tetapi bagaimana seseorang membawakan identitinya.






