Share

PENULIS: NADYA

Volvo Car Malaysia terus mengangkat kepentingan keselamatan jalan raya menerusi acara Selamat Driving Experience yang berlangsung di Pusat Pengalaman Memandu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Program selama dua hari ini berjaya menarik lebih 240 peserta, memberi peluang kepada pemandu memahami risiko sebenar di jalan raya melalui pengalaman simulasi kecemasan dalam suasana yang selamat dan terkawal.

Apa yang menjadikan acara ini lebih bermakna ialah pendekatan realistik yang membuka mata peserta. Ketibaan mereka disambut dengan paparan sebuah Volvo XC90 yang remuk akibat kemalangan, sekali gus memberi gambaran jelas tentang pentingnya teknologi keselamatan seperti beg udara dan sangkar keselamatan keluli boron dalam melindungi nyawa penumpang ketika insiden berlaku.

Selain pengalaman di litar, peserta turut menggunakan Selamat Calculator, platform digital interaktif hasil kerjasama bersama Mr Money TV. Bukan sekadar menilai tahap risiko keselamatan individu, platform ini turut membantu peserta memahami kesan emosi dan kewangan yang mungkin ditanggung keluarga sekiranya berlaku perkara tidak diingini. Pendekatan ini memberi perspektif baharu bahawa keselamatan bukan hanya tentang diri sendiri, tetapi juga insan tersayang.

Di litar pula, peserta berpeluang merasai simulasi situasi kecemasan seperti hilang kawalan, membrek mengejut dan mengelak pelanggaran, sambil menguji keberkesanan teknologi keselamatan Volvo secara langsung. Melalui pengalaman ini, Volvo membuktikan bahawa keselamatan bukan sekadar spesifikasi pada kenderaan, tetapi satu nilai penting yang boleh menyelamatkan nyawa setiap kali memulakan perjalanan pulang ke rumah.