Share

Bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL)  menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertemakan Superhero, sebagai simbol penghargaan dan sokongan kepada kanak-kanak daripada Persatuan Sindrom Down Malaysia.

Program ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Puteri Iman Afzan binti Al- Sultan Abdullah, selaku Tetamu Kehormat, dan turut dihadiri barisan jemputan kehormat daripada agensi kerajaan serta organisasi kebajikan.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YBhg. Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat; YBrs. Tuan Fauzy Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Dr. Sopian bin Hj. Brahim, Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak- Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Puan Noraziah binti Chemok, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Encik Mohd Nasri bin Mohd Nordin, Pengurus Besar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), serta Puan Hanizan binti Hussin, Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia.

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Fauzy Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL berkata, “Di WTCKL, tanggungjawab sosial korporat bukan sekadar satu program, tetapi satu komitmen kemanusiaan. Setiap kanak-kanak berhak diraikan, diberi perhatian dan merasai kegembiraan tanpa mengira cabaran yang mereka hadapi.”

Beliau menambah bahawa tema Superhero dipilih kerana setiap kanak-kanak dilihat sebagai wira tersendiri. “Walaupun kecil, keberanian mereka dalam menghadapi kehidupan adalah luar biasa. Kami berharap inisiatif seperti ini dapat terus membawa senyuman dan menjadi inspirasi kepada masyarakat.”

Antara pengisian program termasuk penyerahan cek sumbangan daripada WTCKL kepada Persatuan Sindrom Down Malaysia, persembahan pentas oleh anak-anak sindrom down, kemunculan maskot, penyampaian sijil penghargaan, acara memotong kek serta sesi permainan interaktif yang memberi pengalaman bermakna kepada kanak-kanak yang terlibat.

Program ini merupakan kesinambungan kolaborasi berterusan WTCKL bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC), selain sokongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Persatuan Sindrom Down Malaysia, Creative 7 Legacy dan Cazu4U Event Management.

WTCKL komited untuk meneruskan pelbagai inisiatif CSR berimpak tinggi, termasuk program Infaq Kasih, yang memberi tumpuan kepada golongan gelandangan, miskin bandar, warga emas dan kanak-kanak yang memerlukan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.