Kita biasa terhibur dengan persembahan lucu ‘stand-up comedian’ ikonik Kumar di atas pentas. Namun pertemuan kali ini menyerlahkan ketulusan hati budi susuk seorang Kumar apabila besar sumbangannya terhadap komuniti terpinggir di Malaysia.
‘Stand-up Comedian’ ikonik dan pengulas sosial yang disayangi ramai, KUMAR, telah membuat lawatan penuh makna ke Yellow House KL, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berdedikasi membantu golongan gelandangan dan komuniti terpinggir di Lembah Klang.
Sesi pertemuan media selama satu jam yang diadakan di premis mesra Yellow House di Kampung Ampang Campuran menyaksikan Kumar berinteraksi secara peribadi dengan para penghuni, sukarelawan, dan pihak media dalam suasana penuh keikhlasan, gelak tawa, serta perkongsian kisah hidup yang menyentuh hati.
“Saya seperti tidak percaya saat kali pertama dihubungi oleh pihak LOL Asia dan diberitahu pula sumbangan ini adalah hasil kerjasama dengan Kumar, ‘comedian’ terkenal itu. Kami sangat berbesar hati dan berterima kasih,” ujar Shyam Priah, Yellow House CEO & President.
Lawatan anjuran LOL Asia ini bukan sekadar sesi bertemu pisak Yellow House dan media, ia juga merupakan satu tindakan tulus menyumbang semula kepada masyarakat. Selain menghiburkan peminat, satu sumbangan bermakna telah disalurkan kepada Yellow House KL oleh Kumar dan LOL Asia, bagi menyokong inisiatif berterusan organisasi tersebut.
“Setiap daripada kita ada cerita yang patut didengari,” kongsi Kumar. “Gelak tawa bukan sekadar hiburan—ia mengangkat semangat, dan yang lebih penting, ia menghubungkan manusia. Hari ini adalah tentang hubungan itu. Apa yang dilakukan oleh Yellow House sangat menginspirasikan, dan saya harap lebih ramai orang sedar bahawa maruah bermula dengan empati.”
Daripada berjenaka bersama penghuni sehinggalah berkongsi secara jujur tentang jurang masyarakat dan perjalanan hidupnya sendiri, kehadiran Kumar membawa kegembiraan, keinsafan, dan inspirasi kepada semua yang hadir.
“Kerjasama dengan Yellow House adalah inisiatif bersama Kumar. Kami di LOL Asia terbuka untuk berkerjasama dengan komuniti lain juga yang memerlukan pada masa akan datang,” tegas Jack Jeganesan, Co Founder/Producer LOL Asia.
Lawatan ini juga menandakan permulaan kepada potensi kerjasama antara Kumar dan LOL Asia, dengan fokus mencipta impak berterusan kepada komuniti terpinggir melalui kekuatan seni, budaya, dan rasa kemanusiaan.
Ketahui lebih lanjut tentang acara LOL Asia yang akan datang di www.wearelol.asia.