Saya Marini Mat Zain, berusia 42 tahun dan diserang mild stroke setahun lalu. Ini adalah kali pertama saya membuat pengakuan yang terlalu peribadi bagi saya. Saya lakukan senaman ini demi untuk kesihatan. Bukan mudah mengamalkan gaya hidup sihat apatah lagi mahu melakukan senaman. Kalau senaman mudah di rumah pun tak pernah buat, apatah lagi komitmen mahu ke gimnasium setiap hari. Saya cabar kamu…
Kadang-kadang saya jadi rujukan untuk rakan PR mencari artis, model atau selebriti untuk acara mereka. Suatu hari saya ditegur rakan PR dan meminta saya sarankan nama-nama potensi selebriti untuk kliennya.
Dalam hati berdetik juga, kenapalah mereka tidak ambil aku sahaja. Namun, saya mengerti nilai selebriti lebih tinggi terutama pengaruh mereka terhadap masyarakat. Jadi hasrat itu hanya berdetak di dalam hati sahaja.
Saya pun memberikan saranan selebriti dan model yang mana dirasakan sesuai. Ingin saya kongsikan apa terjadi selepas itu.
Rabu, 24 Aug 16
Keresahan melanda, saya berbincang dengan PR dan nekad mahukan khidmat Personal Trainer (PT). Tidak segan saya menyuarakan hasrat.
Saya pernah mencuba bermacam cara untuk tampil kurus, dari spa kecantikan sehinggalah mengambil PT tidak lama dahulu. Saya diurut membuang lemak dan dibalut kemas sebelum sauna. Lebih enam bulan tidak makan nasi, berhasil! Namun, diri sendiri tidak berdisiplin. Dari berat hilang 10kg, timbang mula naik balik 10kg.
Kerana bimbang, saya langsung membayar PT ribuan ringgit tetapi berhenti beberapa sesi belum habis. Saya tidak meneruskan latihan sehingga jatuh sakit setahun lalu. Kerana serik, saya mula ke gim Ramadan lalu dan bersenam ikut sesedap rasa sendiri.
Jadi apa salahnya mencuba buat kali ketiga, dalam hati berkata mungkin ini peluang terakhir saya.
Khamis, 25 Aug 16
Saya dan sang PR masih berbincang. Saya meminta Instagram klien (angkat kening). Lantas saya menyiasat bakal PT saya itu. Mengintai @xclusivefitness saya melihat kelibat Mr. M sedang membuat latihan. Saya kemudian menyambung kerja dan hari berlalu begitu sahaja…
Sabtu, 27 Aug 16
Hari ini bertemu janji dengan rakan-rakan blogger, isu wanita berusia 40 tahun rancak dibahan. Apa yang viral kini dia janda beranak 4 atau 5 yang bernikah dengan lelaki berusia 18 tahun. Saya kerling teman di sebelah, dalam hati berkata—Hey, dia lebih muda daripada aku yang belum berkahwin sampai sekarang.
Hm, saya tidak menyentuh usia tetapi menyusul pendapat, Jlo (Jennifer Lopez) umur 57 tahun bercinta dengan lelaki 28 tahun tak kata apa pula. “Itu Jlo,” balas teman saya seorang lelaki itu.
Pulang ke hotel, saya ditegur rakan PR dan dia mengatur pertemuan saya dan bakal PT saya Mr. M. Kebetulan saya berada di Shah Alam, lantas mereka berdua menjemput saya lewat petang itu. Perut masih lapar, selamba saya memesan Spaghetti Bolognese di depan PT. “Last menu,” usik saya.
Kami berbual-bual membincangkan perancangan mahu dibuat. Selesa! Itu lah perasaan saya pada saat itu. Setelah itu saya langsung dibawa ke gimnasium miliknya. Kagum! Saat berusia 28 tahun, Mr. M sudah memiliki premis gimnasium sebesar ini di dalam Stadium Shah Alam (saya akan berkongsi dekorasi gim ini di entri lain).
Isnin, 29 Aug 16
Saya dikejar untuk memulakan fitness secepat mungkin. Apa salahnya esok saya mulakan sesi pertama saya. Tidak boleh bertangguh dan manja lagi. Saya teruja dan berkongsi berita ini dengan teman-teman terdekat. Saya dengan ini mengumumkan akan kembali mendapat khidmat PT. Ternyata kisah Mr. M menjadi misteri mereka. Saya biarkan sahaja… Biarlah misteri!
MINGGU 1: Selasa, 30 Aug 16 – Jumaat, 2 Sept 16
Masih ditemani rakan PR, saya memulakan sesi pertama saya dengan Mr. M hari ini. Sepetang itu, saya hanya disoal siasat Mr. M luar dan dalam. Saya sudah menjawab soalan namun, katanya pasti masih ada dirahsiakan. Jadi, tugasan pertama saya adalah mengarang kisah peribadi atau luahan perasaan saya sedalam-dalamnya. Saya kalut!
Saya sudah menjelaskan, setahun lalu pada bulan Syawal saya diserang ‘mild stroke’ dan masuk wad seminggu lamanya. Saya minta keluar wad dan diberi cuti kerja selama sebulan. Ini pasti gara-gara tidak menjaga makan. Sebagai blogger, saya dijemput setiap hari ke hotel berlainan untuk menjamu selera. Sebab itu Ramadan tahun ini saya bercuti menerima undangan dan sering ke gimnasium bersama rakan-rakan selepas berbuka.
“Saya faham tetapi apa lagi. Kenapa kamu hendak melakukan ini?” soal Mr. M lagi.
“Baiklah! Saya berterus-terang sahaja. Saya belum berkahwin dan pendapat saya di Malaysia, penampilan diri adalah sangat penting. Jadi saya perlu mendapatkan tubuh lebih selesa,” balas saya agak malu tetapi menebalkan muka.
“Jadi, kamu masih ‘single’ dan enggan bersendirian.”
“Macam ni lah. Saat jatuh sakit tinggal di wad sendirian. Saya tidak punya siapa-siapa menemani saya (ketika itu emak dan kakak masih di kampung),” ujar saya jujur.
Saksikan saya melakukan sesi latihan di Xclusive fitnesz pada minggu pertama di YouTube Marini Mat Zain.
Saya masih diberi tugasan pertama, pulang ke rumah mencari jati diri. Saya perlu maklumkan kepada MR. M sebenar-benarnya apa ‘demon’ atau ‘musuh’ utama di dalam diri. Hal itu akan menjadikan saya bukan sekadar melakukan senaman hanya bermusim tetapi mengekalkannya sebagai gaya hidup.
Ini kali pertama saya berterus terang mengenai diri saya. Saya Marini Mat Zain berusia 42 tahun (3 April 1974). Ya! I’m 74 babies. Saya sudah siapkan tulisan luahan rasa saya, sedang berfikir-fikir untuk berkongsi di sini pada entri akan datang. Beri sedikit masa…
Saya juga telah berkongsi gambar saat saya berjaya kurangkan 10kg tiga tahun lalu. Tetapi tidak lama selepas itu berat saya bertambah semula 10kg. Itu lah yang dimaksudkan Mr. M. Saya perlu mencari satu punca yang boleh menjadikan fitness sebagai gaya hidup dan bukannya semangat sementara.
“Fitness ibarat marathon, dilakukan secara perlahan tetapi konsisten, bukan seperti lari pecut yang laju berdesup tetapi akhirnya dilupa. Jadikan fitness satu gaya hidupmu.” – Celebrity Trainer, Murad Zaidi.
PENGENALAN DIRI
Sesi latihan diteruskan dan salah satunya Boxing. Saksikan di YouTube Marini Mat Zain.
Tempoh dua minggu pertama saya jalani ini, boleh dikatakan sangat menyiksakan bagi orang yang suka makan seperti saya. Lolz. Saya perlu makan tanpa gula, garam, minyak dan karbohidrat. Manis daripada buah pun tidak boleh. Setidak-tidaknya untuk 14 hari ini. Saat menulis ini, tujuh hari berlalu dan saya mengalami banyak emosi.
Emosi lapar yang membawa rasa marah nak makan orang, gigit orang, mahu bersendirian, resah, gelisah, sedih dan sebagainya. Setiap hari saya perlu memberitahu Mr. M apa yang dimakan pagi, petang, siang dan malam. Whatsapp jadi medium komunikasi penting.
Tempoh dua minggu ini juga saat Mr. M membaca gaya hidup saya. Minggu suai kenal kami berdua. Setiap latihan diberikan bergantung kepada kemampuan fizik saya. Akan ada gesaan dan paksaan dalam latihan untuk membakar lemak. Syy, dengar-dengar ada yang sampai menangis. Sampai saat ini saya masih bertahan.
MENU SIHAT
Masih tercari-cari menu untuk memikat selera saya. Betapa susahnya mahu menelan telur putih sahaja. Kekeliruan juga terjadi lalu saya merasan 7 hari daripada 14 hari ini menyiksakan.
Definitely, jahanam lalu menu hari pertama saya. Kata nak studi apa saya telan, jadi inilah dia diantaranya.
Saya rasa dah cukup diet dah ni. Tapi keesokan harinya saya diberi menu makan oleh Mr. M untuk diet dengan memakan banyak protein. Kopi hitam tanpa gula, menu 7 pagi, telur putih goreng, menu 10 pagi, salad buah, menu 4 petang dan ayam/daging/kambing jadi menu 7 petang.
Saya mula memakan sajian sihat, tidak kira dimasak sendiri atau makan di luar.
Ya, hari pertama dan kedua saya lakukan teruk sekali. Namun selepas itu, senaman lebih berjalan lancar. Saya melakukan lain-lain senaman setiap hari selain di gim, saya mencuba boxing juga. Sangat menyeronokkan.
“Awal ini kita cuba tackle the muscle. Rasa kaki terbakar itu bagus kerana lemak sedang dibakar. Kamu perlu overcome rasa mengalah dan melawan kesakitan.”
Tugasan kedua, saya perlu mencari fizikal orang lain yang seperti diimpikan. Saya tidak bermimpi banyak. Saya beri nama Ashley Graham, model bersaiz besar, body activist dan pereka fesyen. Bagi saya dia sangat konfiden dan bangga dengan fizikalnya.
‘Don’t look at that. You’re gonna get smaller. Find a different inspiration.’
Kata saya, tak kurus tak apa asalkan tiada perut, dagu berlapis dan lengan yang melebar. Itu sudah memadai. ‘Other than her, my next inspiration is Jennifer Lopez. Age 47 still smoking hot. Haha…’ saya berseloroh.
‘Stick to Jlo then. Focus on her.’
Reallyyy… Serius?
Siapakah selebriti yang menjadi inspirasi kamu untuk mendapatkan tubuh sepertinya? Komen di bawah…
Bersambung…
Hubungi Xclusive Fitnesz di 03-5513 9619 atau intai IG @xclusivefitnesz hari ini.