Share

Kadang-kadang kita tidak menduga kemampuan diri selagi tidak memaksa untuk mencuba. Saya masih lagi di sini, Xclusive Fitnesz, saban hari melakukan senaman demi memperbaiki diri.

Angka 80kg membuatkan wajah saya melebar dan sembab. Beberapa bahagian tubuh mula menyakitkan mata—Bahagian lengan, perut dan paha. Pastinya menyakitkan mata orang sekeliling juga, kata hati saya.

Perasaan rendah diri semakin menebal. Sebanyak mana rasa tertekan, banyak itu juga mendorong saya untuk makan. Langsung tidak menjaga pilihan menu.

Menyorok kesedihan teramat di dalam, saya memberi senyum dan wajah gembira di luaran. Semua orang melihat saya gembira. Mungkin itu lah sebaik-baiknya.

img_2567

Tempoh sebulan saya berjaya membakar lemak dan turun sehingga 4kg.

Beberapa kali cuba diet namun tidak berhasil. Pasti ada jawapan pada kegagalan saya. Salah memilih menu barangkali? Berkali-kali gagal kali ini saya nekad…

Bersama Xclusive Fitnesz saya lebih terbuka membenarkan Personal Trainer, Mr. M atau Murad Zaidi membaca setiap isi hati yang tersimpan selama ini. Buat kali pertama saya yakin dengan orang asing dan saya percaya segala kata-kata motivasinya.

Tempoh minggu kedua dan ketiga masih banyak dugaan mendatang. Kata-kata mengusik banyaknya lebih kepada mematahkan semangat. Memang ada yang tidak menyangka saya akan bertahan lama. Banyak juga sahabat yang memberi sokongan. Terima kasih!

YouTube Marini Mat Zain berkongsi pengalaman bersenam terutama pada bahagian kaki.

Apa sahaja saya lalui, saya melangkah lebih laju. Andai dahulu banyak mensia-siakan pagi, kali ini selepas bangkit 6 pagi saya tidak lagi kembali tidur. Bersiap untuk ke gimnasium menempuh kesesakan pagi, jam 7 atau 8 pagi saya sudah terpacul di pintu gim.

Tiada alasan jauh apa lagi payah dalam kamus hidup saya. Laluan Puchong ke Stadium Shah Alam sudah menjadi laluan dekat. Seandainya dari tempat kerja, Cheras ke Stadium Shah Alam ditempuh dengan sabar. Sebelah pagi atau malam di gimnasium, bersenam kini menjadi rutin baharu saya.

Satu hal saya pelajari adalah jawapan negatif diberikan hanyalah sekadar alasan kosong. Alasan tanpa disedari buat kita melarikan diri dari realiti kehidupan. Padahal kita mampu mengubahnya dengan meraih sebuah kejayaan yang sepatutnya ditempuhi.

YouTube Marini Mat Zain menunjukkan beberapa aktiviti sihat yang berlangsung di Xclusive Fitnesz

DIET: MENGIKUT JENIS DARAH

Minggu kedua paling sukar buat saya kerana masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan diet. Menurut Murad Zaidi, sepatutnya di minggu kedua ini, tubuh saya sudah dapat menerima perubahan cara pemakanan.

Hidup tanpa gula, garam, minyak dan karbohidrat ini sangat mencabar. Almaklumlah, selama ini makan semua sedap kan. Kegelisahan ini mampu membuat diri berasa lebih emosi. Amarah memuncak di dalam diri. Ketagihan menghirup air manis menambah kegelisahan. Lama-kelamaan saya kalih dengan semua rutin baru.

Melihat keputusan medical checkup yang memberangsangkan sedikit menyuntik semangat—Darah tinggi, kencing manis dan sebagainya semua ditahap baik. Darah saya pula jenis O dan lebih mudahlah Murad Zaidi merangka diet saya seterusnya.

jurney img_0882

Bagi jenis darah O, saya perlu banyak mengambil lean meat, ayam atau itik dan juga ikan. Namun doktor pula tidak menggalakkan saya mengambil daging merah dan ikan yang ada merah pada bahagian isi seperti ikan tongkol dan sebagainya. Makanan laut apatah lagi kerana saya ada masalah sendi. Pilihan saya semakin terhad, sama ada ayam atau salmon.

Rupa-rupanya saya perlu melakukan diet protein dan mengurangkan pengambilan karbohidrat. Pelbagai cara saya lakukan untuk menjadikan menu setiap hari lebih menyelerakan. Satu tahap, saya mencari resipi sihat yang sedap tanpa perlu garam, gula atau minyak.

Sehingga berat sepatutnya dicapai, saya perlu lebih tabah untuk mengamalkan pemakanan bersih selain melakukan rutin senaman.

SENAMAN: MEMBENTUK TUBUH

Sehari tidak mengeluarkan peluh, dirasakan ada kekurangan pada diri. Ternyata formula Murad Zaidi berjaya membentuk diri menjadikan senaman sebagai satu gaya hidup. Setiap hari saya mahukan lebih lagi.

Latihan dilakukan pula berbeza-beza mengikut kesesuaian dan minat ditunjukkan saya. Selain tidak membosankan, setiap senaman dilakukan adalah untuk membentuk tubuh lebih sempurna pada bahagian-bahagian tertentu.

Berlari baik di gelanggang atau atas trademill adalah ketakutan utama saya perlu atasi segera. Mungkin itu satu-satunya kelemahan saya depani.

img_0628 img_1791

Minggu ke minggu stamina saya semakin meningkat. Betapa saya merasakan setiap hari gagal mencapai limitasi latihan diberi namun Mr. M sering memberi motivasi. Katanya, prestasi saya semakin meningkat dari hari ke sehari dan tanyakan teman-teman kamu diluar sana malah kepada yang usia lebih muda sekali ganda, mampukah mereka melakukan apa saya jalani sekarang ini.

Lama-kelamaan tubuh dirasakan jadi lebih ringan. Dagu berlapis juga sudah berkurangan. Sejak dulu andai berat badan naik, bahagian leher lah paling ketara perubahan. Double chin!

Setiap hari saya jadi lebih bersemangat meneruskan latihan bersama coach ataupun melakukan rutin sendirian. Saya nekad melakukan senaman sehingga mendapat bentuk tubuh ideal dan berat yang diidamkan.

KEYAKINAN DIRI: MUNCUL SEMUL A JADI

Perubahan awalnya sudah ada terutama dari segi keyakinan diri. Saya ke acara undangan untuk blog dengan lebih elegan. Apabila diminta tampil ke depan, saya terlebih dahulu menawarkan diri.

Saat itu juga klien mula bertanyakan aktiviti terbaharu saya setelah melihat gambar-gambar dimuat naik di media sosial. Saya tidak lokek berkongsi pengalaman saya bersama Murad Zaidi dan Xclusive Fitnesz.

Sedikit sebanyak saya belajar memperbaharui diri. Mungkin sebulan takkan cukup untuk menguatkan diri, namun perubahan kecil sudah ada. Saya masih memerlukan dorongan dan sokongan semua terutama coach saya, Mr. M atau Murad Zaidi.