Share

PENULIS: NADYA

Jenama golf mewah terkenal, MARK & LONA, secara rasmi melantik KARINA, ketua kumpulan K-pop popular aespa, sebagai brand ambassador baharu dalam usaha memperkukuhkan pertumbuhan global jenama itu.

Pengumuman dibuat menerusi sidang media khas oleh Cube Co., Ltd. di Tokyo, sekali gus mencatat sejarah apabila KARINA menjadi duta wanita pertama bagi jenama tersebut. Pelantikan ini turut disertai pelancaran visual kempen baharu serta iklan komersial terbaru bertajuk “PLAY ILLUSION”, yang menampilkan KARINA sebagai wajah utama.

Diasaskan pada tahun 2008, MARK & LONA terkenal sebagai perintis konsep “Luxury Golf”, mengubah persepsi fesyen golf tradisional melalui gabungan reka bentuk berani, material premium dan prestasi tinggi. Jenama ini menawarkan pelbagai koleksi seperti GENERAL, CODE, FER dan T-LINE, selain dikenali dengan kolaborasi kreatif rentas industri dan pendekatan hiburan yang unik. Dengan kehadiran kukuh di pasaran Asia menerusi butik, shop-in-shop dan e-dagang, MARK & LONA kini terus memperluaskan pengaruhnya di peringkat antarabangsa.

Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Cube Co., Ltd., Tomoaki Matsumura, KARINA dipilih selepas kemunculannya dalam muzik video “Supernova” memberi impak yang disifatkan seperti “kilat menyambar”. Beliau turut memuji profesionalisme KARINA ketika penggambaran kempen “PLAY ILLUSION” di Seoul dalam cuaca musim sejuk yang mencabar. Sementara itu, KARINA meluahkan rasa teruja dan gembira dengan pelantikan tersebut, selain yakin mampu membawa imej baharu kepada MARK & LONA menerusi kempen yang diinspirasikan elemen fantasi merangkumi ruang angkasa, langit, padang pasir, dunia bawah air dan kota moden.

Majlis turut dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen koleksi terbaharu MARK & LONA serta sesi khas putting challenge, di mana KARINA berjaya menyempurnakan cabaran itu pada percubaan ketiga. Menerusi kerjasama ini, MARK & LONA berharap dapat memperkukuhkan lagi kedudukan jenama di pasaran global sambil menarik minat segmen pelanggan baharu, khususnya peminat fesyen premium dan budaya pop antarabangsa.