Share

Ketika Malaysia masih dalam suasana menyambut semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, hadir satu lagi kisah anak tempatan yang cukup membanggakan. Ini kisah di sebalik secawan kopi yang dinikmati panas mahupun sejuk, sirap premium Bariistar hadir dengan pelbagai pilihan perisa yang menambah keenakan dan karakter pada minuman seperti latte, cappuccino dan minuman kopi berasaskan susu.

Kini, sirap keluaran Malaysia ini pula melangkah lebih jauh apabila menembusi pasaran Amerika Syarikat, membawa bersama bukan sahaja produknya, tetapi juga keyakinan bahawa hasil usaha anak tempatan mampu mendapat tempat di pasaran dunia.

Di sebalik perjalanan itu ialah Dr Shahir Suhaimi, Pengarah Callabio Manufacturing Sdn. Bhd., yang bersama pasukannya membangunkan Bariistar sejak 2021. Kini, 16,800 botol sirap premium bernilai RM840,000 dihantar dalam eksport sulung ke Amerika Syarikat, sekali gus membuka lembaran baharu untuk jenama tempatan itu.

Penghantaran berkenaan dilancarkan menerusi Majlis Flag-Off Kontena Eksport di MARA Halal Industrial Park dan disempurnakan oleh Puan Mimi Mazlin Mohamad Yusof, Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial MARA. Turut hadir ialah Pengarah Pejabat MARA Negeri Wilayah Persekutuan, Encik Syed Saifuddin Syed Ahmad, bersama wakil USA, rakan strategik dan warga kerja Callabio Manufacturing.

Namun, kisah Bariistar tidak bermula di Amerika.

Sebelum menembusi pasaran Amerika Syarikat sebagai pasaran global ke-10, produk Bariistar telah terlebih dahulu sampai ke sembilan negara lain seperti Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Poland, Jerman, United Kingdom, Thailand, Perancis, China dan Brunei.

“Bagi kami, ini bukan sekadar sebuah kontena. Ia membawa bersama usaha bertahun-tahun, percubaan, cabaran dan keyakinan bahawa jenama Malaysia juga mampu berdiri di pasaran antarabangsa,” kata Dr Shahir.

Bagi pasaran Amerika Syarikat, sebanyak 17 perisa Bariistar akan dieksport, antaranya karamel, vanila, strawberi, oren, hazelnut, mangga dan pistachio. Produk tersebut akan dipasarkan menerusi rakan pengedar eksklusif kepada rangkaian kedai kopi dan premis F&B yang mempunyai lebih 2,000 kafe. Bariistar menyasarkan jualan antara 30,000 hingga 50,000 botol sebulan apabila pasaran berkembang.

Peluang ke Amerika Syarikat pula bermula menerusi penyertaan Bariistar dalam Gulfood Dubai 2026. Pertemuan dengan bakal rakan niaga di pameran tersebut membuka ruang kepada penghantaran sampel, perbincangan dan akhirnya penghantaran komersial pertama.

Perjalanan antarabangsa Bariistar turut mendapat sokongan MARA menerusi pendedahan kepada pameran dan jaringan perniagaan di luar negara. Penyertaan dalam Malaysia Batam International Exhibition pada 2023, misalnya, membuka laluan kepada pasaran Indonesia. Perkembangan itu kemudiannya diperkukuhkan menerusi penyertaan dalam Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2024.

Dalam membawa produk makanan dan minuman ke pasaran global, kualiti dan pematuhan menjadi asas penting. Kemudahan Callabio Manufacturing mempunyai pensijilan Halal JAKIM, HACCP, GMP dan MeSTI, selain berstatus U.S. FDA Registered Facility. Pensijilan Halal Malaysia turut menjadi antara nilai tambah yang membantu membina keyakinan rakan niaga antarabangsa.

“Kami mahu membuktikan bahawa produk F&B keluaran usahawan Bumiputera Malaysia mempunyai kualiti, pematuhan dan daya saing untuk memasuki pasaran global. Eksport ke Amerika Syarikat ini bukan sekadar penghantaran produk, tetapi satu langkah penting dalam membawa jenama Malaysia ke pentas antarabangsa,” tambah Dr Shahir.

Daripada sebuah jenama yang bermula pada 2021 kepada sembilan pasaran antarabangsa dan kini Amerika Syarikat, perjalanan Bariistar bukan sekadar kisah tentang sirap. Ia adalah kisah tentang keberanian mencuba, kesungguhan membina dan keyakinan untuk membawa sesuatu yang lahir di Malaysia ke dunia.

Dalam bulan kita meraikan Malaysia, Bariistar menjadi satu lagi cerita yang mengingatkan kita bahawa apabila anak tempatan berani melangkah lebih jauh, nama Malaysia juga boleh pergi bersama.

Dari Malaysia, Bariistar kini membuka langkah ke dunia.