Cuba bayangkan betapa setianya peminat-peminat mereka, malah mereka ada yang bukan calang-calang manusia. Pastinya sudah punya kerjaya mantap dan keluarga. Ada juga yang membawa anak kecil ikut serta. Magisnya Wings!
Mendengar adanya konsert istimewa ini saya ingin sekali pergi menonton. Wings sudah 30 tahun menghiburkan kita, wow, betapa waktu berlalu pantas. Acara berlangsung dari siang apabila Wings mengundang 200 sahabat-sahabat artis membuat persembahan.
Menjelang malam pastinya artis yang tinggal lebih hebat. Ada Afdlin Shauki, Hattan, Ito Blues Gang dan ketika persembahan Wings, ada penampilan istimewa Mus, Jojet dan M.Nasir. Hujan membasahi bumi tidak memberi kesan kerana peminat Wings kekal di tempat masing-masing.
Sebanyak lebih 30 lagi termasuk madley dilaungkan dan suara Awie masih seperti dahulu. Ditemani ahli kumpulan lain Joe, Eddie dan Black, Wings membuat persebahan sehingga jam menghampiri dua pagi. Pulang ke rumah sampai jam empat, mujur mak tak bising.
Ternyata peminat masih mengingati lagu-lagu Wings walaupun dari album pertama kerana ada sekumpulan pemuda di belakang saya ikut menyanyi. Antara lagu dipersembahkan Bazooka Penaka, Isnpirasi Tamingsari, Hikayat Penuh Ranjau, Sejati, Taman Rashidah Utama dan banyak lagi termasuk beberapa lagu terbaru.
Apa pun tahniah buat anggota Wings dan selamat ulang tahun ke 30 buat mereka!