Penampilan muka baru dalam dunia hiburan sama ada seni lakon atau nyanyian mampu diserlahkan bermula di permaidani merah. Jika kena gayanya mereka mampu menyertai senarai A-List baru.
oleh Marini Mat Zain
Imej diri berperanan besar dalam dunia hiburan. Siapa hendak memandang penyanyi atau pelakon selekeh, tidak bercita rasa langsung. Muncul mereka dalam bentuk entah apa-apa. Pemilihan imej kurang tepat mungkin tidak disedari. Bukan semua orang berkebolehan seperti Camelia, Erra Fazira atau Amy Search yang bijak mengendalikan gaya kena dengan personaliti. Kalau tahu kekurangan diri dalam berfesyen, itulah gunanya stylist dan tidak salah mengeluarkan belanja membayar khidmat mereka kalau hasilnya kelak lumayan. Mungkin juga kerana pembawaan diri, letak apa sahaja tampak cantik tergantung di tubuh. Ada sesetengah lagi, pakaian berjenama tersarung tetap kelihatan murah sahaja.
Siapa pula yang sedang diperhatikan dan di telah menjadi A-List. Selain bintang filem atau penyanyi baru, pelakon drama TV Hollywood juga boleh memanjat tangga A-List. Lain pula pelakon drama tempatan yang sukar mencuri perhatian. Apalagi mahu diletakkan sebaris dengan bintang A-List sekali gus menerima undangan ke parti sana sini. Misalnya pelakon Catherine High (Grey’s Anatomy) dan Hayden Panettiere (Heroes) yang sekelip mata menjadi rebutan. Padahal Hayden pernah beberapa kali muncul dalam filem. Tetapi namanya lebih bersinar selepas membintangi siri Heroes. Begitu juga si Ugly Betty, America Ferrera memecah tradisi gadis langsing menjadi rebutan di muka depan semua majalah tersohor antarabangsa. Menerima undangan hebat ke majlis koktel organisasi besar di samping mendapat tawaran sebagai duta produk dan sebagainya. Belum termasuk undangan memenuhi kerusi barisan depan pertunjukan fesyen dan tidak sah kalau tidak menerima undangan di bual bicara oleh Oprah Winfrey.
Seperti bintang Halle Berry yang mula bersinar menerusi drama TV Queen. Barulah namanya terpilih sebagai gadis Bond dan sekali gus menjadi jurucakap produk Loreal. Kali pertama melihat Halle Berry menawan di permaidani merah Oscar, dia membawa pulang anugerah Pelakon Terbaik menerusi Monster’s Ball (2002). Sejak itu, penampilannya di setiap permaidani merah ditunggu-tunggu ramai baik peminat apatah lagi media.
Selain tuah artis yang berjaya secara semula jadi, media turut memerhati nama-nama tertentu yang dijangka berpotensi pada masa akan datang. Joseph Gordon-Levitt terkenal sebagai pelakon drama kanak-kanak paling comel suatu ketika dahulu. Bermula dengan drama komedi siri 3rd Rock from the Sun, dia ke layar perak dan saya suka wataknya dalam 10 Things I Hate About You. Melihatnya penampilannya hari ini, dia semakin dewasa dan mula berjinak-jinak dengan independent films dan dikatakan bakal A-List baru tidak lama lagi. Kalau di Malaysia, Sharifah Amani bermula sebagai pelakon filem Inde Sepet dan Gubra arahan Yasmin Ahmad untuk dikenali. Media hanya menunggu bila masa tepat Joseph akan benar-benar menawan dunia. Wajah kacaknya sahaja sudah cukup menambat perhatian kala di permaidani merah.
Selain dramatis dihargai, muncul hanya sebagai watak ketiga dalam filem juga boleh jadi terkenal dan tersenarai dalam A-List. Emily Blunt hanya watak sampingan dalam The Devil Wears Prada. Begitu pun lakonannya melekat di hati dan hasilnya, enam filem sedang menunggunya. Kekasih penyanyi Michael Buble ini anggun ketika hadir di 79th Annual Academy Awards dan tampil di pentas menjadi penyampai bersama Anne Hathaway. Slanga Britishnya sangat seksi dan dia dikatakan bakal mendapat tempat seperti saat kegemilangan Kate Winslet.
Sementara itu pelakon Jepun Rinko Kikuchi dan aktor British Chiwetel Ejiofor telah memulakan langkah. Pelajaran pertama mereka tempuhi adalah kala mempersiapkan diri hendak melalui permaidani merah 64th Annual Golden Globe Awards. Kamera senentiasa mengekori mereka bagi melalui detik bersejarah itu bermula kala mereka memilih pakaian. Rinko tidak bertutur bahasa Inggeris tetapi dia menjual senyumannya yang dikatakan penghuni Hollywood sangat Universal. Biarpun gaun Chanel Rinko ketika hadir di Golden Globe itu tidak menarik perhatian dunia. Malah dia dikatakan mempunyai cita rasa buruk tetapi namanya telah melekat di hati media terutama lakonan berkesannya dalam Babel sebagai gadis bisu.
Tumpuan media barat hari ini adalah menilai cita rasa Rinko kala membawa diri di khalayak ramai. Apakah hadirnya hanya seketika Cuma? Tetapi melihatkan pencalonannya di Academy Award dan kemenangannya dalam beberapa majlis anugerah lain, kehadirannya tidak boleh dipandang sepi. Rinko menjadi kebanggaan Jepun kerana masuk pencalonan Academy Awards selepas Miyoshi Umeki, 49 tahun lalu. Kita lihat sahaja projek filem penuh Bahasa Inggeris pertamanya The Brothers Bloom akan datang.
Saat melalui permaidani merah 64th Annual Golden Globe Awards juga penting bagi Chiwetel Ejiofor kerana jika dia berjaya menawan jutaan mata dan lensa kamera, kehadirannya di Hollywood akan lebih kukuh. Chiwetel berasal dari England mula berlakon sejak 1997 tetapi hanya mula dikenali selepas muncul dalam Tsunami: The Aftermath. Lakonan menyayat hati itu mendapat pencalonan dalam Golden Globe 2007 bagi Pelakon Terbaik kategori mini siri atau filem untuk televisyen. Selepas itu tawaran demi tawaran diterimanya termasuk Talk to Me, Toussaint dan empat filem lain menunggu giliran seperti Toussaint, american Gangster, Tonight at Noon dan Redbelt.
Siapa lagi yang telah mencuri hati semua orang kala melalui permaidani merah? Catherine High tampil cantik memakai gaun kuning Escada menjadi sebut-sebutan dan diberi ulasan baik sebaris selebriti A-List dalam majalah. Secara tidak langsung, dia telah meletakkan dirinya pada tangga A-List. Pengaruh di permaidani merah juga memberi kesan kepada trend. Apabila Sienna Miller muncul dalam rambut pendek kerana lakonan dalam Factory Girl, semua pelakon lain mula meminati potongan rambut sama. Bukan setakat lalu di permaidani merah tetapi sebenarnya kehadiran selebriti perlu dirasai semua melalui pembawaan diri. Personaliti dan gaya juga harus dipelihara sepanjang waktu. Salah memilih gaya pastinya penampilan seseorang pendatang baru atau lama akan terpinggir. Jadi, pandai-pandailah mencuri hati kita di permaidani merah.
Tips Bersedia di Permaidani Merah
1. Semua pengulas stesen TV akan menahan kamu untuk temu ramah singkat. Pastinya soalan sama atau lebih kurang ditanyakan—Mengenai pakaian, penampilan, perkembangan terbaru, pencalonan dan sebagainya. Tugas kamu pula adalah berlagak baru mendengar soalan itu di setiap spot.
2. Berseronoklah kala melintas permaidani merah. Kala diajukan soalan-soalan oleh wartawan penyiaran, jangan hanya memberikan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ sahaja. Belajarlah memberikan jawapan paling berkesan dan diingati semua. Bukan jawapan yang bakal memberi penilaian negetif dan akhirnya menjadi bahan senda orang.
3. Bersedialah apabila kamu ditanya soalan mengenai rakan artis lain. Jangan pula menggelabah dan kamu mengulas orang lain sehingga mengumpan konflik.
4. Sound confident, look confident!
5. Apa perlu di bawa kala berjalan di permaidani merah? Pelebap, bedak dan kad kredit.
Terima atau Tidak?
Akhir sekali bagaimana mereka, selebriti mampu mengesan kehadiran mereka telah mendapat tempat di mata masyarakat. Seperti saya katakan imej paling penting sekali. Kalau di barat mereka mula sedar kehidupan mereka mula berubah apabila;
1. Mereka mula ditawarkan memperagakan berlian bernilai jutaan dan ditemani pengawal peribadi pada malam berjalan di permaidani merah.
2. Gambar mereka berpeluh-peluh ketika meninggalkan perkarangan gimnasium menjadi bahan berita tabloid.
3. Segala-gala rancangan tidak berjalan selagi mereka belum tiba. Penganjur sanggup menunggu sehingga mereka datang.
4. Mereka mula menambah bilangan entourage untuk menguruskan macam-macam perkara yang mula tidak cukup tangan.
5. Nama mereka mula digunakan walaupun hanya untuk melariskan sandwich.
6. Mula mampu memiliki beberapa koleksi Porsches.
7. Jurulatih, pengawal, jurusolek dan stailist mereka on call 24 jam.
8. Mereka mula menjadi penting dalam menyertai apa sahaja acara termasuk lumba marathon.
9. Nilai goodie bags mereka di majlis anugerah semakin lumayan berbanding selebriti lain.
10. Chihuahua mereka juga punya aksesori mewah lebih mahal.
11. Dalam kontrak filem baru, penerbit memasukkan syarat memasak makanan untuk haiwan peliharaan iguana seperti Jim Carrey.
12. Ada lelaki menyorok dalam semak di luar rumah memegang kamera.
13. Akhir sekali, Paris Hilton pun terminta-minta hadir di parti kamu anjurkan.