Persona Anuar Zain

Share

Berada dalam industri memberi kelebihan kepada saya bertemu selebriti atau tokoh ternama secara eksklusif.

Lagi Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah…

Share

anuar zainTugasan menggunung tidak mengizinkan saya singgah ke Serai, Life Centre, Kuala Lumpur. Hujan pula turun tak henti-henti menyebabkan lalu lintas sesak. Begitupun saya sentiasa mengikuti perkembangan dua penyanyi hebat ini. Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah setahun lalu telah bergabung mengadakan sebuah konsert amal anjuran Kelab Sukan & Rekreasi Petronas (KSRP) di Dewan Filharmonik Petronas.

Iringan pemuzik hebat, di bawah pimpinan pengarah muzik Jenny Chin, bersama penampilan khas oleh Mac Chew (Keyboards), Aji ( Guitars), Kelly ( Bass), Steve Thornton (Percussions), John Thomas (Drums) , and Eja & Widy (Penyanyi latar) telah menyemarakkan lagi kolaborasi seni kedua-dua artis dinamik ini.

Senarai lagu pilihan pula tidak asing lagi dikalangan peminat mereka berdua. Ada lagu Bila Resah, Mana Mungkin, Perlukan Cinta, Kembalilah Sayang, Cinta Harus Memiliki (lagu paling digemari saya), Hakikat Cinta/Keabadian Cinta dan banyak lagi didendangkan secara solo bergilir-gilir atau duet.

Semestinya gabungan saya sebut di atas telah menghasilkan sebuah persembahan hebat lagi bertenaga. Kehebatan itu mampu didengar kini kerana terhasilnya album live mereka berdua. Buat mereka yang hadir pada konsert setahun lalu, ini adalah hadiah paling berharga mahu dijadikan kenang-kenangan. Bagi yang terlepas peluang, nah, dengarkan sendiri bukti kehebatan mereka yang diperkatakan itu.

“Kami telah lama saling mengenali dan bersama berkecimpung dalam industri muzik. Semestinya, dia adalah seorang yang saya amat kagumi, dan  tentunya salah satu daripada rakan duet kegemaran saya,” ujar Dayang.

dayang

“Dayang adalah seorang yang sangat senang untuk saya bekerja dan berkongsi dengan, dia begitu berbakat dan saya amat berbesar hati dapat berkarya dengannya, lebih-lebih lagi untuk projek khas ini,” ujar Anuar pula.

Album Anuar dan Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas  memuatkan sejumlah 14 lagu yang telah dipilih dengan teliti. Empat darinya adalah duet istimewa Anuar dan Dayang.

 

 

Anuar Zain Masih Didambakan…

Share

pc anuar zain

Satu dewan senyap sunyi tatkala alunan muzik merdu memenuhi ruang. Penuh penghayatan, Pengarah Muzik Mac Chew sendiri melarikan jemarinya di bilah-bilah hitam putih tuts piano.

Sejauh ku berlari
Meninggalkan dirimu
Masih bayangmu yang menawan

Sekuatku mencuba
Melupakan mu kasih
Lalu mengapa ku tak sanggup

Adakah waktu tak berpihak
Atau memang sudah jalannya
Untuk kita terpisah selamanya

Masuk saja korus…

Ku tak percaya kita
Terpisah Karena Berbeda
Lalu kemana kan ku cari

Ku tak percaya kata
Cinta tak harus memiliki
Lalu mengapa hati terasa sakit

Kala itu semua hati bagai disentuh. Sorakan kedengaran memenuhi seluruh stadium mengagumi suara lunak milik Anuar Zain dipadu  lantang suara harmoni Adibah Noor, Dina Nadzir dan Elvira Arul. Gandingan cukup hebat memdendang lagu Cinta Harus Memiliki. Rasa saya itulah kemuncak pada Konsert Anuar Zain Tiga Dekad – Muzik, Cinta dan Sanubari. Sememangnya tempoh dua jam tidak cukup buat peminat tegar Anuar Zain.

Cinta Harus Memiliki

“Mengundang mereka di pentas adalah tanda penghargaan saya buat teman-teman seperjuangan. Mereka cukup hebat.”

Sebanyak 6000 mata bertumpu kepada Anuar Zain. Tanggal 16 Februari 2013 menjadi sejarah buat penyanyi kacak itu. Hampir seluruh tempat duduk di stadium Malawati Shah Alam penuh. Saya tumpang berasa bangga. Menurut Anuar Zain, kehadiran ibu dan bapa paling dihargai kerana jarang mereka mahu hadiri konsert  seumpamanya dek sayu hati melihat anak di pentas. Mungkin memahami malam itu cukup bermakna buat si anak maka ibu bapa dan ahli keluarga turut hadir. Kelibat Ziana Zain dan suami juga kelihatan.

“Terima kasih abah kerana menjadi pencetus kerjaya nyanyian saya. Segala-galanya bermula di majlis perkahwinan sepupu apabila saya diminta abah menyanyi. Selepas satu, satu lagu lagi di minta dan sampai lagu ke lima saya sendiri mula seronok,” ujarnya berkongsi kenangan lama.

Anuar Zain

Melihat mata Anuar Zain bergenang, hati jadi sebak. Konsert ini dijayakan sendiri Anuar Zain dan Universal Music, menjadikan ia lebih bermakna buat dirinya. Sementelah sehari sebelumnya merupakan hari jadi Anuar Zain ke 43 tahun. Malam ini pula meraikan 30 tahun bergelar insan seni.  Masih utuh, masih digemari dan masih didambakan semua. Kuntuman ros merah baldu dilempar ke pelusuk tempat duduk vip tanda kasih sayang tak terhingga. Kucupan awangan dan lambaian sering dilemparkan kepada semua peminat di setiap penjuru.

Lagu paling ditunggu-tunggu saya adalah Jangan Bersedih Lagi, Mungkin dan Ketulusan Hati. Lagu-lagu menemani sedih saya sejak dahulu. Ehem, semua orang putus cinta pasti tahu. Apabila saya ikut menyanyi hampir kesemua lagu, teman sebelah menjeling terkejut. Apabila ditanya judul lagu, saya sengih—“Lupa! Balik google,” ujar saya kepada teman wartawan yang sibuk dengan buku catatannya.

Kain Pelikat

Serasa saya hanya keluarga yang tahu saya lah peminat nombor satu Anuar Zain yang sebenar (perasan sebentar). Keluar iklan konsert Anuar Zain Tiga Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari ini di kaca TV kakak sulung sudah bertanya—Tak pergi konsert abang Nuar kau? Seingat saya, setiap musim raya, sering kena buli dengan kakak nombor dua. Geramnya masa rancangan Anuar Zain lah dia nak tengok cerita lain. Dalam merajuk panjang saya lawan balik. Nostalgia itu kembali segar, lebih-lebih lagi apabila Anuar Zain mendendangkan lagu Kain Pelikat. Kemudian seluruh peminat di stadium menyanyikan lagu Suasa Hari Raya.

Nostalgia berterusan dengan lagu Perpisahan dari filem hebat Cinta. Bahagian paling tidak gemar (cemburu buta) apabila tiba lagu Ajari Aku. Saya menebak di luar stadium dengan seorang teman mekap artis yang ada kejutan di konsert ini. Sebenarnya saya sudah jangkakan Nora Danish bakal muncul di pentas. Ciuman di tangan itu sahaja yang saya tak jangka. Tayangan perdana video muzik Sempurnakan Aku adalah kesinambungan video muzik Ajari Aku. Pekikan penonton kedengaran terutama melihat adegan romantis Anuar Zain dan Nora Danish (tak kelakar okay!).

“Ciuman di tangan itu adalah perlakuan spontan saya sebagai menghargai seorang sahabat. Tidak lebih daripada itu,” tegasnya di sidang media.

konsert anuar zain 3 dekad

Pentas rekaan Faizal Mohd Zulkifli tampil bertingkat-tingkat meletakkan pemuzik pada setiap posisi sempurna. Setiap lagu menampilkan percikan cahaya yang pelbagai oleh Steve Ho dari SES begitu bertepatan dengan tiap emosi lagu didendangkan. Pentas itu berlatarkan tiga skrin LED  dengan grafik dan tayangan visual dirakamkan Amri Ginang. Imejan Anuar Zain begitu mempesonakan.

Hampir semua lagu popular dari album pertama hingga terkini didendangkan Anuar Zain—I’m the Lucky One, Bila Resah, Suria Dan Siarra, Kau Bunga Cintaku, Lembalilah Kasih/Hanya Milik Mu, Keabadian Cinta, Sesucinya Cintamu, Bidadari, Teman Terulung, Semua Untukmu, Lelaki ini dan diakhiri dengan Sedetik Lebih.

Ternyata suara Anuar Zain malam itu begitu kemas dan tiada satu pun kecacatan apabila melontarkan note paling tinggi. Puas! Suara sama yang saya kagumi sejak dahulu. Saya pernah membuli Anuar Zain, merakam suaranya di telefon bimbit selesai sesi fotografi. Mahu buat wakeup call pagi-pagi kata saya. “Bangun Marini, bangun. Bangun Marini! Banguuuuun!” Aduhai, bukan mengejutkan saya tetapi suara romantis itu mengasyikkan. Melanjutkan lagi lena saya. Merdu!

Lelaki ini

Sejak malam konsert saya kini demam lagu Cinta Harus Memiliki. Kali pertama mendengarnya di konsert itu lah lantas saya jatuh hati dengan lagu itu. Serasa saya sudah 100 kali saya mengulang-ulang-ulang-ulang dengar lagu merdu itu. Konfirm itu lagu Anuar Zain paling saya gemari selepas Jangan Bersedih Lagi, Mungkin dan Ketulusan Hati. Percayalah, rugi pada siapa-siapa yang terlepas konsert Anuar Zain Tiga Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari.

Tahniah buat Anuar Zain dan seluruh teamnya.